Tuesday, April 21, 2009

CERPEN : TUAN, INI UNTUK KAMU

CERPEN
TUAN, INI UNTUK KAMU
Oleh Syafiq Zulakifli

INI tugas saya. Mencatat, menulis dan mempromosikan hasil tulisan di dalam akhbar Al-Ahram. Semenjak diterima masuk ke dalam dunia kewartawanan, saya tidak pernah kecewa dengan tugas seperti ini. Pagi; keluar seawal Subuh untuk mendapatkan berita-berita panas dan sensasi kiranya dan dimuatkan di dalam akhbar syarikat milik Tuan Fareed pada keesokkan harinya. Malam pula pulang selewat jam satu pagi ke rumah. Tentu teman serumah sudah mengerti tugas saya seperti ini sehari-hari.

Sebagai sebuah pengarang akhbar ‘panas’ di bandar Kaherah, liputan saya semestinya tidak harus sama dengan liputan yang dikendalikan dan diterbitkan oleh akhbar-akhbar lain. Itu harapan daripada Tuan Fareed sendiri. Beliau mahukan berita yang lain daripada yang lain. Cerewet.

“Mohamed Eidil, berita panas apa hari ini?”

“Belum ada lagi Tuan.”

Setiap hari Tuan Fareed, ketua pengarang kanan akhbar Al-Ahram akan bertanyakan kepada saya akan berita apa yang bakal dimuatkan di muka hadapan nanti.

Saya cepat-cepat mencapai buku nota kecil dan pena yang tidak tersusun kemas di atas meja pejabat. Hari ini saya ditugaskan menghadiri sidang akhbar dua orang pemimpin kanan dunia. Seorang wakil daripada negara Iraq dan seorang lagi pemimpin kanan Amerika Syarikat.

Barangkali semenjak kehadiran kedua-dua pemimpin utama negara itu ke sini, saya langsung tidak berpeluang untuk duduk mencatat di hadapan mereka. Tetapi, selepas ruang ini ditugaskan kepada saya, segera saya mengambil tanggungjawab tersebut.

Deringan muzik lagu Biladi nyanyian Amir Diab berkumandang. Saya mendapatkan telefon bimbit yang tersimpan di dalam saku kecil seluar. “Tuan Fareed, saya di dalam perjalanan ke bangunan Opera House.”

“Baik! Segera!” Itu sahaja kalam yang sempat diucapkan oleh bos saya pagi itu.

Sewaktu tiba di lobi Opera House, saya menjeling-jeling ke arah segerombolan pasukan wartawan yang sudah bersiap-siap di luar. Segera saya memberi salam dan bertanya, “Sudah bermula majlis?” “Belum.”

Fahamlah saya bahawa pemimpin-pemimpin utama tersebut masih lagi belum tiba di perkarangan dewan ketika itu. Langsung saya terus sahaja berpusing-pusing mengitari seluruh kawasan Opera House itu. Barangkali bangunan ini juga boleh dijadikan tajuk-tajuk rencana yang boleh saya muatkan di dalam akhbar pojok saya itu nanti.

Kurang lima belas minit kemudian, siren polis bergema memenuhi ruang udara bangunan. Saya melihat ramai orang berpusu-pusu menuju ke dalam Dewan Utama Al-Husaini untuk mendengar sidang akhbar itu. Cepat-cepat saya menuju ke dalam ruang dewan itu. Takut nanti sesak dengan wartawan-wartawan yang lain.

Dewan berhawa dingin dengan suhu seakan-akan bawah daripada sepuluh darjah celcius menjamah-jamah kulit saya. Sejuk. Mujurlah saya memakai ves tebal hari ini.

Saya mencapai sebuah kerusi di hadapan. Yang duduk di sebelah adalah seorang wartawan muda daripada akhbar senegara saya kira. Di hadapan saya ramai lagi wartawan yang entah daripada negara mana pun saya tidak ketahui.

“Dari akhbar mana?”

“Al-Baghdadi.” Jawabnya ringkas.

Tahulah saya bahawa orang yang duduk di sebelah adalah seorang wartawan daripada negara pemimpin yang akan menyampaikan sidang akhbar itu sebentar lagi. Saya tiba-tiba menjadi peramah. Yang sempat saya tanya, sudah berapa lama menjadi wartawan? Sudah berapa lama menjadi penulis? Dan, bermacam-macam lagi soalan yang terpacul daripada mulut saya.

Entah di mana silap pertanyaan saya, ada beberapa soalan yang tidak dijawab. Saya pun tiba-tiba tersipu-sipu malu mendiamkan diri.

Di hadapan saya, masuk dua orang pemimpin utama negara. Pengerusi memperkenalkan kedua-dua orang tokoh. Di sebelah kanan, Perdana Menteri Iraq yang merupakan ketua kerajaan kepada wartawan yang berada di sebelah saya ini. Dan, seorang lagi; seorang pemimpin utama dunia yang terkenal iaitu Setiausaha Negara Amerika Syarikat. Semua yang sedang duduk di dalam dewan tersebut memberi tepukan gemuruh kepada kedua-dua pemimpin itu tatkala mereka memasuki ruang dewan tersebut.

Pengerusi majlis yang berbahasa Inggeris itu mempersilakan Perdana Menteri Iraq menyampaikan amanat dan ucapannya. Selepas mengucapkan salam dan memberikan ucapan pendahuluan, beliau mengungkapkan dengan nada marah bahawa negara Iraq kini sudah kecewa dengan sikap dunia Islam yang langsung tidak pernah memahami keperitan dan penderitaan. Bermandikan darah, berselimutkan daging-daging manusia yang entah bila akan tamat pun, tidak diketahui.

Saya terkejut dengan kenyataan tersebut. Dengan pantas, saya segera mencatat. Sesekali, saya teringatkan peristiwa-peristiwa benar yang berlaku ke atas dunia-dunia Islam. Afghanistan, Iran, Palestin dan bermacam-macam lagi peristiwa pedih yang pernah di alami oleh mereka, tiba-tiba saya mengingati semula akan peristiwa itu. Pernah satu masa, saya mencatat sebuah makalah tentang penderitaan rakyat Palestin yang inginkan kebebasan, kedamaian apatah lagi pembangunan seperti negara-negara maju yang lain.

Perdana Menteri itu berkata lagi, terpulanglah kepada Amerika Syarikat untuk membuat apa-apa lagi selepas ini. Yang mereka tahu hanyalah, berdoa kepada Allah, agar satu masa nanti orang-orang Yahudi ini akan kembali mempasak sebuah janji untuk berdamai dan bersatu tanpa persengketaan lagi.

Ada senyum kecil yang tergantung di sebalik riak wajah Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu. Ketahuilah benar bahawa ada harapan yang besar seharusnya dikembalikan nanti semasa beliau akan mengambil bahagian untuk berucap.

Sesekali, Perdana Menteri Iraq itu menitis airmata. Ada kekecewaan yang terpamer dan membekas dingin di dalam jiwa dan sanubari. Saya masih gagah memegang sebuah pena dengan buku catatan yang sudah dipenuhi lebih daripada tiga muka surat.

Saya tiba-tiba teringat kepada Yasser yang ditemuramah minggu lalu. Seorang anak muda yang bekerja di bandar Kaherah berasal daripada Palestin. Saya bertemu dengannya tatkala melihat dia mundar-mandir di seberang Sungai Nil menghala ke bandar Tahrir.

“Aku masuk melalui sempadan Gaza. Mujurlah aku masih boleh menapak sehingga ke bandar ini. Aku amat takut sebenarnya, tetapi apakan daya, di sana tiada lagi kehidupan yang terbaik buat diriku. Yang aku dengar hanya bunyi das tembakan yang memecahkan gegendang telinga ini sahaja. Aku amat takut!”

Katanya lagi, “Beberapa minggu kami bergelap kerana bekalan elektrik terputus. Itu semua gara-gara Yahudi laknatullah yang tidak pernah senang dengan kehidupan kami ini.”

Saya memegang erat tangannya. Saya masih lagi setia mendengar luahan ceritanya itu. Dia masih lagi mahu terus bersuara dan bersuara.

“Semenjak Israel menjajah Palestin semenjak tahun 1967, mereka berusaha menghalang kami daripada melakukan apa-apa sahaja. Mereka menghalang kami mendapatkan air, mereka membuat kami bagai sampah yang paling jijik di atas muka bumi ini. Ini bukan tanah mereka. Ini tanah Allah!” Jeritnya dalam hati.

Saya menyangka dia amat marah dengan kehidupannya yang diperlaku seperti anjing liar di perbatasan. Saya mengerti akan darah dendam yang terbuku di dalam hatinya.

Tiba-tiba saya mendengar tepukan gemuruh yang amat kuat. Oh! Benarlah kini tiba giliran pemimpin yang hadir mewakili negara Amerika Syarikat itu akan berucap pula.

Saya cepat-cepat menyudahkan catatan-catatan yang masih tertinggal. Muka baru. Lembar buku catatan ditujukan ke muka yang baru. Kali ini saya akan mencatat beberapa kalam yang akan diucapkan oleh pemimpin itu.

Beberapa kali pemimpin itu mendapat tepukan yang gemuruh. Saya memasang telinga dalam-dalam. Segera saya mencatat. Entah di mana eloknya tutur bahasa dan kalamnya juga saya tidak mengerti. Yang saya fikir, pemimpin ini hanyalah seorang yang riak dan ego semata-mata meraih kegembiraan dan kepuasan sebagai seorang pemimpin yang terhandal konon-kononnya di dalam dunia ini dan mampu melakukan apa sahaja kehendak dan keinginannya.

Saya memegang pena dengan kuat. Kali ini saya cukup terasa apa yang telah dilakukan ke atas Yasser dan teman-teman. Kali ini saya cukup bengang dengan perkara yang telah terjadi kepada Palestin, Iraq, Afghanistan dan negara-negara Islam sendiri. Negara saya sendiri Mesir pernah berkali-kali diratah. Namun, mujurlah Tuhan masih memelihara.

Tanggapan saya, Amerika dan Israel amat takut menjadi Firaun kedua di bumi Mesir ini. Dan, barangkali juga puak Ikhwan Muslimin, sebuah gerakan politik Islam di bumi Mesir ini amat ditakuti oleh bangsa-banga seperti Amerika dan Israel itu. Mengapa tidak, setiap kali usai menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Azhar, puak-puak ini juga yang melaungkan kalimah jihad untuk menentang Amerika dan Israel. Yang saya pasti, mereka bercita-cita mahukan Yahudi ditarah dengan adil dan saksama sebagaimana kejamnya mereka terhadap dunia Islam.

Tidak silap saya, ketika membuat liputan baru-baru ini di dalam Universiti Al-Azhar, Kaherah; salah sebuah universiti tertua di dunia, saya telah melihat betapa bendera Israel dan Amerika yang dilakar di atas jalan tar universiti tersebut telah dipijak-pijak oleh sebahagian besar mahasiswa yang setiap kali akan memasuki perkarangan universiti itu. Sungguh benar, umat Islam semuanya amat berang dengan tingkah laku kejam pemimpin negara itu.

Saya memerhatikan lagi pemimpin itu berucap dengan pena yang masih berdiri di tangan kanan. Setiap bicaranya saya catat dengan sesekali darah panas menyelinap di dalam diri. Wartawan Baghdad yang duduk di sebelah lebih-lebih lagi memberikan tumpuan yang tidak sepicing pun boleh menggugurkan kalimah dan patah huruf yang diucapkan oleh pemimpin itu.

Saya melihat udara sejuk yang berkedap di dalam dewan itu tiba-tiba membahang. Entah mengapa bahang itu meresap di dalam diri. Saya memerhatikan pemimpin itu dengan mata yang tajam. Kasut yang saya sedang pakai saya tanggalkan. Dengan genggaman yang kuat, saya lempar kasut yang saya pakai itu mengenai pemimpin yang sedang berucap dengan mulut saya mengungkap kata, “Tuan, ini untuk kamu.”

Kasut itu sempat dielak oleh pemimpin itu. Saya amat tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku. Marah makin menjadi-jadi. Tiba-tiba suasana dewan hingar seketika. Tanpa mengambil masa yang panjang saya menanggalkan sebuah lagi kasut saya di sebelah kiri lantas melemparkannya dengan jeritan di mulut, “Ini adalah daripada balu-balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh selama ini. Kau memang jahat!”

Saya menjadi geram yang amat. Saya meninggalkan dewan secara tiba-tiba dan keluar melulu ke arah pintu utama. Yang sempat saya lihat, saya dikepung oleh pihak-pihak berkuasa yang tidak kenali.

Saya cuba mempertahankan apa yang dilakukan. Mereka dengan kejam mengheret ke sebuah bilik kedap yang tidak berpenghuni. Entah di mana saya tidak ingat. Mereka marahkan saya. Berulang-ulang kali mereka tanyakan mengapa saya bertindak sebegitu kejam.

Dengan perasaan dendam yang amat, saya katakan bahawa saya tidak kejam. Mereka lagi kejam. Mereka menghancurkan dunia Islam dan mereka sepatutnya dihukum.

Entah berapa kali saya ditampar pun, saya tidak ingat. Sakit yang amat. Saya jerit sekuat-kuatnya. Sakit! Sakit! Sakit!

Tuan Fareed berdiri di hadapan saya. Saya memerhatikan kawasan sekeliling. Komputer pejabat masih berada di atas meja pejabat.

“Mohamed Eidil, sudah pergi buat liputan atau belum hari ini?”

Saya yang tersipu-sipu malu menghalakan perjalanan saya seperti biasa untuk membuat liputan seperti hari-hari yang lain.

CERPEN : RAMADAN TERAKHIR DI KAHERAH

CERPEN
RAMADAN TERAKHIR DI KAHERAH
Oleh Syafiq Zulakifli

SATU
“INI Ramadan terakhir kita!”
Empat ratus orang mahasiswa berkumpul di hadapan Pusat Konvensyen Antarabangsa Al-Azhar Kaherah. Masing-masing menyarung ‘abaya’ hitam yang disulam khas sempena Majlis Konvokesyen Graduan Mahasiswa Universiti Al-Azhar. Siapa yang tidak kenal pada Al-Azhar; universiti yang telah mencetak hampir berjuta-juta mahasiswa di bumi peradaban Islam ini. Kota sejarah yang terus sarat dengan ulama dan pemikir Islam terulung di dunia. Rata-rata mengakui bahawa Mesir merupakan kubu kuat pemerintahan dan pentadbiran jejak-jejak sirah Islam yang masyhur. Mengikut catatan sejarah silam, Khalifah Aziz Billah telah menubuhkan universiti Islam pertama di dunia iaitu Al-Azhar.
Persiapan dan kelengkapan aturcara konvokesyen mahasiswa graduan Al-Azhar yang akan berlangsung sebentar lagi telah pun tersusun rapi. Tidak mungkin program besar sebegini berjaya tanpa bantuan tenaga daripada ahli Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM); salah sebuah persatuan tertua di bumi Mesir ini. PMRAM yang sudah bertapak di bumi Mesir selama hampir tujuh puluh lapan tahun ini tidak pernah culas di dalam menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah persatuan yang menjaga kebajikan kepada semua mahasiswa di bumi Mesir.
Graduan dan graduanita sudah berpusu-pusu masuk ke dalam ruang dewan besar program. Walaupun tidak ditemani oleh kedua ibu-bapa, nikmat yang dikecapi bakal mewarnai dunia seorang wira dan wirawati sebagai seorang mahasiswa. Menjulang segulung sijil bernama ijazah sarjana muda sudah menjadi harapan semenjak mereka menjejakkan kaki ke bumi bertuah ini.
“Ini Ramadan terakhir kita di sini. Dunia permusafiran kita akan berakhir tidak lama lagi.” Aku memulakan bicara selepas mendapatkan kerusi di dalam dewan tersebut.
“Alangkah bertuahnya adik-adik kita masih mempunyai peluang menjamah hidangan ilmu yang disediakan oleh ulama-ulama di Masjid Al-Azhar. Mereka masih punya masa berbaki yang banyak sedang kita bakal mengucapkan selamat tinggal kepada dunia Mesir tidak lama lagi.” Nuaim yang berada di sebelah membalas.
Masing-masing mempunyai pandangan tersendiri tentang Al-Azhar. Aku saling bertukar-tukar pandangan terhadap dunia permukiman di Kota Kaherah yang akan berakhir tidak lama lagi. Barangkali airmata syahdu jikalau ditangiskan hanya menjadi airmata kering yang tidak bernyawa. Usah dikatakan peluang berguru dengan syeikh sudah tamat; malah keperluan untuk mengisi ruang menghafaz al-Quran juga sedikit sebanyak menjejaskan keadaan. Rata-rata mengakui bahawa peluang di negara sendiri amat tipis untuk mendalami ilmu-ilmu Islam secara lebih dekat. Malah, untuk mendapatkan fatwa secara langsung daripada Darul Ifta’; sebuah pusat fatwa terkemuka di Mesir juga bakal tergantung. Dunia akan terus berubah. Rutin harian juga bakal diwarnai dengan polemik kehidupan yang berbeza di Malaysia. Tanggungjawab yang bakal digalas juga akan lebih mencabar.
Ramadan ini sungguh asing bagi diriku. Tiada yang lebih istimewa daripada meneguk segelas rasa syukur duduk menetap di bumi asing. Siapa yang menyangka hidangan percuma di masjid-masjid sekitar Mesir menjadi hidangan harian untuk semua penduduk dan mahasiswa perantauan di kota bersejarah ini. Malah, sebagai anak perantauan mengisi waktu iftar di masjid-masjid sudah menjadi rutin biasa. Wang saku boleh disimpan untuk keperluan akan datang. Jimat.
Senja terakhir Ramadan, aku mengambil peluang berbuka di masjid berdekatan. Harapnya nanti Ramadan ini bakal disinari dengan cahaya gemerlapan bersama warga Arab Mesir.
“Kamu orang muda berasal daripada mana?”
“Malaysia.”
“Kamu sebaik-baik manusia di muka bumi ini.”
Orang arab Mesir amat bermurah hati dengan segala pujian. Malah setiap tutur bicaranya dan kalam-kalam pujian dengan nama-nama Allah pasti akan meniti di bibir mereka. Sungguh Ramadan ini terasa kelainannya. Nikmat yang dikecapi, pengalaman yang dirasai, bakal menjadi hidangan sunyi pastinya selepas ini.
“Aku berbangga melihat kamu wahai anak. Sungguh cekal hatimu menuntut ilmu di sini.” Lelaki muda berdagu pandak itu mula menegur.
“Aku berhijrah ke sini kerana inginkan ilmu. Di sini imam mazhabku disemadikan.”
“As-Syafie?”
“Ya.”
“Aku mahu mendalami ilmu Tuhan ini dengan sebaik-baiknya. Tetapi, masaku dan kehidupanku sungguh terbatas. Aku akan meninggalkan kota ini tidak lama lagi. Ini Ramadan terakhir aku.”
Lelaki muda itu sedikit terperanjat.
“Kamu sudah lama di sini?”
Aku mengangguk tanda membenarkan percakapannya.
“Hampir empat tahun aku di sini. Aku melayari dunia pendidikan Islam yang paling gemilang. Aku ingin menjadi seorang ulama. Aku memahami bahawa tanggungjawabku untuk menjadi seorang pendakwah dan ulama adalah satu kewajipan yang amat besar. Tetapi aku takut akan segalanya.”
“Golongan yang tidak takut kepada Allah tidak boleh dianggap sebagai ulama. Barangkali orang muda sepertimu akan mencapai kejayaan insya-Allah. Aku mendoakan agar engkau bersama golongan orang-orang yang dipelihara Tuhan.” Lelaki itu cuba menerangkan.
“Wahai orang muda, aku harap engkau tidak tertipu dengan ilmu yang engkau ada hari ini.”
“Tertipu?”
“Orang yang berilmu boleh terpedaya dengan ilmunya. Bukankah engkau tidak mengetahui, dunia kini sering berkejar-kejaran. Barangkali mereka yang hebat menyampaikan itu, merekalah paling berilmu. Wahai anak muda, Imam Ghazali pernah menyatakan antara golongan yang terpedaya ialah ahli fekah yang menguasai ilmu ketaatan tetapi tidak mengamalkannya. Sebahagian daripada mereka menguasai ilmu sehingga mereka mengenali perkara yang maksiat, tetapi mereka tidak menjauhinya.”
Aku kaget melihat lelaki muda itu. Barangkali sepanjang permukimanku di sini, inilah kali pertama dan mungkin kali terakhir aku mampu mendengar kata-kata ini diperdengarkan di cuping telingaku.
Tiba-tiba aku teringatkan Ahmed Yassin. Seorang teman sekuliah. Dia berasal daripada bumi Iskandariah. Sebuah kota besar di utara negara Mesir. Pernah juga dia menasihatkan aku agar tidak terpedaya dengan segala ilmu yang telah tertanam di dalam diri seorang penuntut ilmu.
Aku memandang lelaki itu berulang-ulang kali. Tentunya ada maksud yang tersirat di sebalik kata-katanya itu sebentar tadi.
DUA
“Bulan Ramadan merupakan masa untuk umat Islam berfikir dan merenung diri sendiri, bersolat, membuat kebajikan dan meluangkan masa dengan keluarga serta sahabat handai. Diharapkan dengan berpuasa dari fajar hingga senja umat Islam akan dapat mempertingkatkan disiplin diri dan menjadi pemurah dengan mengingati kesusahan hidup sebahagian manusia yang miskin dan papa.” Imam Masjid Al-Azhar menasihatkan melalui tazkirahnya pada malam Ramadan terakhir itu.
Lazimnya, semua masjid di sini tidak mengadakan solat tarawih sebanyak dua puluh rakaat. Selepas empat rakaat tarawih, imam akan menyampaikan tazkirah bagi mengingatkan manusia tentang keperluan Ramadan dan hak-hak Ramadan.
Imam mengingatkan lagi bahawa, Islam bukan sesuatu yang mudah meletakkan nilai Ramadan. Malah, nilai ketakwaan merupakan dasar utama kejayaan sesebuah Ramadan dan pengertian puasa itu sendiri. Ramadan bukan sekadar mengosongkan perut daripada makan dan minum. Tetapi, lebih daripada itu Ramadan adalah bulan yang mengajar manusia sebagai hamba mengenal hakikat ketakwaan terhadap Tuhan sebagai pencipta.
“Sesiapa yang melakukan solat malam pada Ramadan kerana keimanan kepada Allah Taala dan mengharapkan keredaan dan keampunan Allah Taala, maka diampunkan segala dosanya yang lalu.” Imam menyandarkan beberapa hadis berhubung dengan Ramadan.
Aku mengumpul kekuatan pada akhir Ramadan. Takut-takut ini Ramadan yang terakhir di dalam kamus peribadi. Biarpun ini Ramadan terakhir di dataran Wadi Nil, aku lebih rela dan sanggup mengharungi makna yang tersirat di sebalik Ramadan dengan sebaiknya. Islam bukan mengajar menghayati makna Ramadan mengikut tempat, malah jika teman-temanku mengakrabi kekuatan Ramadan pastinya malamnya tidak akan renggang dengan solat-solat sunat yang memberikan ganjaran yang besar kepada pelaksananya.
Usai menyelesaikan kewajipan, aku segera pulang bersama teman-teman ke asrama tempat kami menginap. Beberapa teman-teman mempelawa singgah ke kedai makan dengan alasan ‘moreh’ katanya.
Kaherah menjanjikan malam Ramadan yang amat berlainan. Warganya berpusu-pusu mengisi peluang untuk menjamah makanan. Barangkali juga aku boleh sandarkan bahawa pesta bulan bagi mereka adalah bulan Ramadan. Jikalau di negara sendiri, pesta lelong baju dan pesta pakaian hari raya menjadi santapan muda-mudi, orang dewasa dan warga tua tetapi sungguh berlainan di sini.
Kota yang lebih menjanjikan kesetiaan, kemakmuran dan permuafakatan sesama ahli keluarga dengan berkumpul beramai-ramai di ruang-ruang legar kedai makan. Tentu juga kedai makan seperti As-Syabrawi, Abu Mazen dan El-Mo’men sungguh laku pada malam-malam Ramadan. Gerai-gerai tidak akan ditutup selagi azan Subuh tidak dilaungkan.
TIGA
“Tuk. Tuk. Tuk. Tuk. Tuk.” Siapa yang mampu memejamkan mata tatkala bunyi cemeti kecil dipukul di atas tin kosong bersaiz besar itu mula bersuara. Lazimnya, ketika jam menunjukkan tepat dua pagi, bunyi itu mula bergema. Warga kota akan dikejutkan untuk bersahur. Juga, dalam musim panas sebegini keadaan pula memaksa mata berdiri gagah sehingga ke waktu Subuh. Tentu, waktu sahur terakhir ini kudrat yang ada tidak sama dengan kekuatan pada awal Ramadan.
Teman-teman serumah bergilir-gilir menunaikan tanggungjawab memasak. Barangkali, aku juga tidak ketinggalan melunaskan tugasan. Jika bukan aku yang menggalas beban memasak, pastinya peluang menunaikan qiamullail akan dilaksanakan.
Allah berfirman, dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.
Qiamullail adalah kekuatan yang paling utama di dalam madrasah Ramadan. Ibnu Qudamah menyebut dalam kitabnya Mukhtasar Minhaj al-Qasidin bahawa qiamullail amat sukar untuk dilaksanakan kecuali siapa yang diberi taufik oleh Allah Taala untuk melaksanakannya. Namun, sebagai penguat zahir dan batin diri, aku berdoa moga-moga kekuatan yang masih berpuput tidak akan hilang dengan semangat yang tidak tetap, niat yang tidak kuat dan azam yang tidak kental.
EMPAT
Orang-orang dapur sudah memulakan rewang. Ada yang ditugaskan memotong bawang, mengupas kentang, memotong daging dan ayam. Semuanya atas dasar satu kesaksamaan; menyambut lebaran di perantauan yang tidak akan serupa menyambutnya di negara sendiri. Tiga tahun lalu, tatkala menyambut lebaran aku ditugaskan untuk menjadi penyambut tetamu. Namun, kini sebagai abang senior tugas itu dipundakkan kepada adik-adik baharu.
Suasana malam lebaran itu masih serupa dan sama dengan suasana sebelum ini. Kerjasama, bantuan dan semangat berpasukan teman-teman seangkatan tidak pernah luntur. Kami memahami tanggungjawab masing-masing. Yang Dipertua persatuan awal-awal lagi telah mengingatkan kami bahawa perpaduan dan kerjasama berpasukan itu dituntut di dalam Islam. Allah mengingatkan hambanya, bertolong-tolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan takwa serta janganlah kamu bertolong-tolongan di dalam perkara dosa dan permusuhan.
Hari ini, kehidupan bekerjasama dan saling membantu kami rasai. Sejarah membuktikan bahawa ketika Perang Badar berlaku, umat Islam hanya mempunyai tiga ratus tiga belas orang berbanding musuh seramai seribu orang. Namun, atas dasar dan sikap tolong-menolong dan kefahaman mereka terhadap perintah Allah, maka kemenangan telah berpihak kepada umat Islam. Pengalaman sirah ini sedikit sebanyak memberikan kesan kepada kami selaku mahasiswa Islam di perantauan.
Azan Maghrib berkumandang di udara. Gerombolan mahasiswa berpusu-pusu ke surau menjamah sebiji kurma dan terus menunaikan solat Maghrib. Usai menunaikan solat, takbir Syawal bergema di dalam dewan asrama. Laungan takbir, Allahu Akbar terus berulang-ulang mengingatkan kebesaran Allah.
Tatkala itu, airmata menjadi pinjaman sementara kepada seluruh mahasiswa. Terkenang yang jauh, merindui keluarga dan sahabat handai di negara sendiri sudah mengakrabi diri. Kini, tugas menggalas amanah dan tanggungjawab yang besar menjadi seorang murabbi kepada bangsa, agama, masyarakat dan negara merupakan keperluan yang utama. Dan, amanah itu bakal digalas selepas ini.
“Kita sudah tiba di akhir Ramadan.” Nuaim mengingatkan.

CERPEN : Warkah Dari Medan Seni

CERPEN
WARKAH DARI MEDAN SENI
Oleh Syafiq Zulakifli

Abah,
BARANGKALI marah Abah makin menjadi. Saya ketahuan sangat sikap Abah akhir-akhir ini. Semenjak saya pulang bercuti minggu lepas, Abah tidak putus-putus menyumpah seranah pada saya. Saya simpan marah Abah itu jauh-jauh. Pada saya, mungkin marah Abah akan reda satu masa nanti. Bukankah Abah juga yang menghantar saya ke akademi ini? Bukankah Abah juga yang minta saya jadi seorang penyair? Bukankah Abah pernah beritahu saya supaya nanti Abah akan lihat saya bersama A. Samad Said di dalam Anjung Deklamator untuk membacakan puisi-puisi roh Islam? Itu semua cita-cita Abah bukan?
Saya beranggapan mungkin itu dahulu. Sebelum saya bergelar seorang mahasiswi di Akademi Seni. Sebelum saya menjejakkan kaki ke dalam Akademi Seni ini, hasrat Abah sememangnya begitu. Mahu saya jadi macam-macam. Begitu dan begini. Tetapi mengapa Abah berubah? Kenapa Abah tiba-tiba suruh saya berhenti belajar di Akademi Seni?
Saya juga jadi kehairanan. Barangkali sikap Abah hari ini sudah tidak sama lagi dengan sikap Abah yang dahulu. Saya juga jadi tidak menentu. Apabila malam menjelma, saya tidak cendera tidur. Mata yang sudah kantuk pun tidak dapat ditutup. Entah. Saya jadi bingung sendiri. Kehadiran ke kelas lazimnya yang biasa saya penuhkan pun, barangkali sudah bertukar rentaknya.
Kawan-kawan saya juga pelik dengan sikap saya sebegini. Kalau mereka bertanya, lantas sepicing huruf pun tidak berbunyi dari mulut saya. Sedang begitupun, saya masih tidak dapat menahan parah di dalam hati yang membakar ini. Barangkali saya perlu penjelasan daripada Abah sendiri.
Abah,
Ceritera Abah suatu masa dahulu mungkin saja saya boleh imbas. Saya masih simpan dalam kotak fikir saya. Barangkali jika Abah dengar pun, Abah akan mengangguk membenarkan apa yang saya akan perkatakan.
Abah bilang, jadi penyair ini adalah suatu seni. Seni yang harus ada santun dan budinya. Harus ada lemah-lembutnya. Seni itu indah. Kesenian yang mengajar erti ketakwaan kepada Allah. Seni juga lambang kesatuan kita.
Kalam itu yang masih saya simpan bulat-bulat. Saya hangatkan ketika berada di dalam kelas. Yang saya tahu, seni itu banyak ceritanya. Beberapa bulan sebelum ke Akademi Seni, saya sembunyi-sembunyi bongkar almari Abah. Maafkan saya Abah. Saya bukan anak yang suka jadi pencuri. Saya mahu curi keindahan seni itu sendiri. Sebab itu saya gagahkan diri untuk mencari dimana letaknya nilai seni itu, Abah.
Tentu Abah masih ingat tulisan Abah yang terbit di Mingguan Malaysia sepuluh tahun yang lalu. Abah menulis tentang keindahan seni. Abah ceritakan tentang Islam sebagai ad-Din yang serba-serbi lengkap juga mengambil kira hal kesenian di dalam perundangannya.
Tatkala itu juga, Abah coretkan di dalam makalah yang sama, Islam telah datang untuk menyempurnakan fitrah semula jadi manusia yang cinta kepada kesenian dan menentukan garis panduan seni yang diredai oleh Allah.
Dan, di antara yang paling takjub saya kira, Abah bercerita hal berkenaan kesenian yang diterima oleh agama Islam, adalah kesenian yang dapat membezakan dengan nilai akidah, syarak dan akhlak.
Abah tentunya lebih hebat daripada saya. Abah juga Tokoh Penyair Negara suatu masa dahulu. Jika saya berbual panjang tentang seni, saya juga malu untuk bercerita panjang. Takut-takut ilmu Abah lebih besar daripada saya.
Abah yang disayangi,
Tutur susila saya masih dijaga dan dipelihara. Abah kata, jika berada di dalam Akademi Seni pun, solat tidak harus tinggal. Solat itu tiang agama. Jika kita meninggalkan solat, tentunya kita berani meruntuhkan agama. Benar. Saya akui kata-kata Abah. Dan, semenjak saya berada di dalam akademi pun, tidak pernah walau sekali saya tinggalkan solat. Abah sememangnya punya darah seni yang kuat daripada saya. Sedang saya, seorang anak yang baharu mengenal dunia seni dan penyair.
Pernah saya lihat Abah meradang pada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia kerana mengadakan persembahan yang melanggari syarak. Waktu itu saya masih setahun jagung mengenal dunia seni. Yang saya dapat tangkap dongeng cerita, Abah amat marah sekiranya program kesenian diadakan ketika waktu Maghrib berkumandang. Kata Abah, mereka tidak hormat akan agama sendiri. Saya hormat pada ketegasan yang Abah lakukan. Amanah yang Abah bawa sebagai seorang seniman yang menghambakan seni untuk Islam, saya amat hormat.
Adakah Abah masih ingat semangat yang Abah bekalkan pada saya sebelum menjejakkan kaki ke ladang Akademi Seni ini? Abah telah meniupkan semangat jihad kepada saya. Semangat jihad sebagaimana tentera Islam berperang di Palestin mempertahankan agama. Abah kata pada saya, ketika zaman Khulafa’ al-Rasyidin umat Islam berani berjihad dengan keindahan seni. Seni yang mempertaruhkan syair-syair Islam ternama seperti yang terkandung di dalam kitab Sirah Ibn Hisyam.
Abah cuba jelaskan pada saya, betapa Islam ini tidak gagah tanpa mata pena yang paling tajam untuk berbicara semenjak zaman Rasulullah lagi. Abah juga sedari kecil cukup akrab meladeni Diwan Imam Syafie yang mengumpulkan bermacam-macam jenis syair Islam untuk membesarkan Tuhan sebagai Rabb Jalil.
Semalam, saya intai kembali warkah Abah yang lalu. Abah benar-benar mahukan saya mencari seni itu di Sepanyol satu masa dahulu. Abah bangga sekiranya ada di antara anak Abah yang belajar puisi Islam di sana. Tentunya saya tidak pernah lupakan sejarah ketamadunan Seville, Valencia, Granada, dan Almeria di Sepanyol yang banyak melakarkan puisi-puisi indah di sana semenjak zaman Andalus lagi. Bukankah Tamadun Islam itu bermula dengan kesusasteraan?
Barangkali Abah kecewa kerana saya membuat keputusan untuk masuk ke Akademi Seni ini. Walaupun Abah bangga apabila saya merupakan satu-satunya anak Abah yang ikut jejak langkah untuk terus menjaga khazanah seni, tetapi mungkin Abah ralat melihat saya tidak menuntut ilmu di sana. Tentunya saya ada alasan sendiri menolak pelawaan Abah. Dan, sebagai gantinya saya hadiahkan sekeping kenangan di pinggiran kota, mempelajari seni itu di Akademi Seni ini.
“Ilmu itu adalah cahaya. Dan cahaya Allah, tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang melakukan maksiat.” Saya pasti Abah masih ingat kata-kata ini. Abah yang minta saya hafaz kata-kata Imam Syafie ini. Dan, sehingga kini ianya tidak pernah luput daripada ingatan saya. Saya faham maksud tersirat yang Abah cuba jelaskan. Tentunya Abah mahu saya pelajari ilmu yang baik-baik sahaja di dalam akademi.
Sungguh saya tidak menyangka Abah marahkan saya begitu kuat ketika saya pulang tempoh hari. Cuti yang saya idamkan seronok, Abah tukarkan anginnya dengan cuka yang masam. Beberapa kali saya minta ibu jelaskan marah Abah, tetapi ibu diam membisu. Yang ibu mampu beritahu, dia minta saya sendiri mohon maaf pada Abah. Tentunya saya buntu dengan keadaan yang menimpa. Sugul diri saya tidak dapat lagi terbendung. Saya mahukan penjelasan Abah.
Saya kerapkali berfikir, di mana silap saya sebenarnya. Dan, mungkin sahaja saya boleh simpulkan begini. Abah marah saya ketika saya mengadakan persembahan pertama di Istana Budaya beberapa minggu yang lalu.
Tentunya saya tidak menyangka Abah keluar melulu ketika nama saya disebut untuk mendeklamasikan puisi pada waktu itu. Saya hampir-hampir rebah di atas pentas. Tetapi saya kuatkan semangat. Saya fikir Abah keluar untuk memenuhi hajat. Dan, saya tidak teragak-agak terus melontarkan bait-bait kalam puisi yang indah ketika itu.
Lirik mata saya terus sahaja tertancap pada seraut wajah Ibu di hadapan. Semahunya saya mahu Ibu juga bersorak ketika nama saya diumumkan, tetapi wajah Ibu juga tampak kusam. Ibu seolah-olah tidak merelakan saya berdiri di atas pentas. Sedang kelibat Abah sudah hilang semenjak dari tadi, menjadi tanda tanya pada diri saya. Maklumlah, tentunya kali pertama beraksi di atas pentas besar ini bukannya mudah. Apatah lagi, Abah dan Ibu yang kehairanan di hadapan saya sendiri membuatkan saya jadi serba salah.
Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
Pantun seni Melayu zaman berzaman ini Abah dengarkan ke gegendang telinga saya buat kali pertama. Enak sungguh jika budi dan bahasa itu disatukan di dalam satu bicara. Tentunya juga bagai kereta dan enjinnya yang tidak boleh dipisahkan. Orang Melayu amat kaya dengan budi dan bahasa. Santun dan keramat bicaranya tidak pernah luntur ditelan zaman-zaman.
Abah yang saya amat hormati dan sanjungi,
Sudah terang lagi bersuluh. Jika kebaya nyonya yang saya pakai di atas pentas menjadi punca utamanya, saya junjung kemaafan yang menggunung. Saya pasti Abah malu melihat anak Abah sendiri yang menyarung pakaian ketat itu. Saya terhimpit Abah. Benar-benar terhimpit dengan kekusutan ini. Sikap pengetua yang memaksa saya, saya telan bulat-bulat. Saya takut untuk bersuara. Saya risau kalau-kalau mahunya mereka itu nanti membuang saya sebagai pelajar akademi.
Saya malu ditertawakan Abah. Kekadang, tatkala menjalani latihan, saya minta izin untuk bersolat pun, saya diperlekehkan. Barangkali semua cerita-cerita saya ini Abah perlu tahu. Ya! Mungkin dunia seni kita hari ini sudah banyak berubah. Tentu tidak sama jika mahu dibandingkan dengan zaman Abah yang lalu. Keadaannya sungguh berubah. Yang sepatutnya ditutup, dingangakan. Yang sudah bertudung, ditanggalkan. Semuanya atas satu alasan Abah, perintah.
Asas seni sudah luntur. Bangsa Melayu sebagai bangsa dagangan semata-mata. Melayu hanya pada nama. Namun, adatnya sudah hilang. Saya akur dengan sikap Abah itu. Saya tahu saya bersalah di dalam hal ini. Namun, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul kesengsaraan ini.

Dahulu, moyang-poyang kita bertingkah-tingkah adat. Adat dijunjung tinggi. Budaya dijaga rapi. Kalau anak-anak menari, adat dan hukum dipelihara sejati. Sedari awal saya kira, sejarah itu sudah pupus. Hukum hanya terletak di dalam kitab. Mati.
Gegendang ini sudah lama berlaga mendengar ceritera yang kurang elok. Pesta hiburan juga adat melampau. Jangankan disua pendapat, nanti berbalas dengan hukum manusia. Pecat. Letak jawatan.
Sudah berkali-kali pentadbiran Akademi Seni ini berubah. Sedang saya melihat orang-orang dalaman akademi pun terkandas dengan delima ini. Apa yang harus saya lakukan lagi?
Hentikanlah marah abah itu. Saya akur untuk mengusung bagasi pulang ke pangkuan Abah. Kemarahan itu tentunya akan menjadi rencana ingatan dalam peribadi saya.
Sekian, wassalam.


CERPEN : Sebuah Rahsia Merdeka

Cerpen ini memenangi Hadiah Saguhati, Sayembara Penulisan Cerpen Jawi, Perpustakaan Negara Malaysia 2007.

CERPEN
TAJUK : SEBUAH RAHSIA MERDEKA
Syafiq bin Zulakifli

RIPUH Kota Kaherah sudah menjadi adat. Adat Timur Tengah kata sebahagian orang arab Mesir. Di sini juga, wafatnya Abu Abdullah Muhammad bin Idris, pengasas Mazhab Syafie. Imam Syafie terkenal di kalangan orang Malaysia. Bukan kerana dirinya, tetapi mazhabnya yang menjadi pegangan orang- orang di rantau Asia.
Sudah tiga tahun aku menetap di kota sejarah Nabi Musa dan Firaun ini. Pengalaman merantau di sini, mengajar aku erti sebuah pengorbanan. Pengorbanan menjadi seorang khalifah yang ingin mencedok rahsia keunggulan agama Islam. Namun, penggembaraan di sini masih belum berakhir. Tempoh pengajian yang masih berbaki hampir setahun lagi, memaksa aku berada di kota ini.
Dua bulan cuti semester sudah berlalu. Seperti tahun – tahun yang lalu, musim panas sebegini memaksa kebanyakan pelajar Malaysia menghabiskan cutinya untuk pulang ke tanah air. Tidak pula bagi aku. Aku lebih suka menghabiskan permusafiran ini untuk menimba ilmu di pondok – pondok kecil Al-Azhar. Bukankah Al-Azhar adalah kiblat ilmu yang menghidangkan segalanya? Setelah Mekah Al-Mukarramah menjadi kiblat ibadah, Mesir pula kaya sebagai tempat khazanah ilmu untuk mereka yang ingin bergelar ulama.
Di sini lahirnya ulama-ulama muktabar yang diakui akan kehebatannya. Mereka menulis, membaca serta menjadikan bidang pengajian ilmu sebagai medium utama negara. Justeru, tidak hairanlah pada tiap-tiap tahun akan diadakan pesta buku antarabangsa yang terbesar di dunia di sini. Pesta buku ini akan berlangsung selepas semester pertama sesi pengajian sekitar awal bulan Februari. Syarikat-syarikat buku antarabangsa sedunia tidak pernah ketinggalan daripada menyertainya.
Beberapa kali juga aku pernah terserempak dengan wanita berkebaya muslim dan lelaki berkot hitam kemas serta bertali leher di pesta buku tersebut. Aku suakan pertanyaan dan khabar kepada mereka. Mereka orang Malaysia. Berkunjung ke sini semata-mata untuk mencari buku sebagai bahan rujukan. Katanya, di perpustakaan negara jarang ditemui buku-buku hasil karyawan timur tengah. Lebih-lebih lagi, buku-buku tersebut sentiasa mempunyai keluaran yang terbaru. Sebagai pengkaji bidang fatwa, mereka harus mendapatkannya dengan segera. Bukan itu sahaja, kajian di Mesir juga lebih baik berbanding negara – negara arab yang lain. Mereka yang hadir bukan calang-calang orang. Mereka adalah pensyarah-pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia. Kehadiran mereka ke sini sekurang-kurangnya memperkenalkan aku dengan beberapa orang pensyarah daripada negara sendiri. Pernah aku berjanji, selepas tamat pengajian di sini, aku ingin menyambung pelajaranku di Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia.
Petang yang damai dengan suhu membahang di luar, menjadikan aku kurang selesa menghabiskan masa di luar rumah. Tetapi, aku perlu bertemu dengan Hud. Selepas solat Zuhur tadi di Masjid Salam Hayyu Sabi’e, Hud minta bertemu dengannya di Dataran Hayyu Asyir.
Demi menunaikan janji, aku segerakan langkahku ke Dataran Hayyu Asyir. Bas ke Bandar Hayyu Asyir hanya ada dua. Jika terlewat, masa yang dijanjikan akan terkandas. Di Bandar Kaherah, jarang dapat melihat bas berhenti di stesennya. Menjadi kebiasaan, wosto hanya akan memperlahankan basnya, lantas penumpang semua akan melompat daripada pintu bas ke jalan raya.
Aku ketawa kecil. Pernah jua aku, terpijak jubah labuh seorang wanita arab di sini. Bukan disengajakan. Koyak sedikit. Sejujurnya, aku lihat wanita itu memang sedikit berang, tetapi demi meredakan keadaan, aku minta maaf di atas perkara yang telah terjadi. Orang-orang Mesir bukannya semua yang berang dan masam mencuka. Walaupun kebanyakannya sebegitu, tetapi ada yang lebih lembut daripada orang-orang Malaysia.
Jiwaku lega seketika. Tiada langsung maki hamun yang dituturkan padaku. Mungkin, wanita arab tadi melazimi firman Allah Taala dalam surah al-Nahl ayat 126 : Dan sekiranya kamu bersifat sabar itulah kebaikan bagi orang-orang yang bersabar. Bukankah sabar itu sifat mulia?
Sabar amat pahit dirasai tetapi hasilnya manis sekali. Itulah ungkapan yang sering didengar saban hari, namun manusia selalu kecundang di sebaliknya. Rasulullah s.a.w. amat menekankan erti sabar dalam hidup. Baginda telah membuktikan bahawa kejayaan baginda adalah berbekalkan kesabaran yang kuat sehingga golongan kafir Quraish menerima Islam kerana terpikat dengan kelembutan dan kesabaran baginda.
Hal ini pernah dibuktikan di dalam sejarah perjuangan baginda dan kisah-kisah yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah sendiri. Satu ketika, sebelum memeluk Islam Zaid bin Sa’amah telah datang menagih hutang kepada Rasulullah secara kasar iaitu dengan memegang bahu dan menarik baju Rasulullah serta meluahkan kata-kata, “Kamu bani Abdul Mutalib yang sukar membayar hutang”, lantas Zaid diherdik oleh Saidina Omar dengan mengeluarkan kata-kata yang kasar. Rasulullah tersenyum kemudian berkata, “Antara aku dan Zaid bukanlah cara begini kau lakukan wahai Omar. Sepatutnya kamu menyuruh aku supaya menjelaskan hutang dengan baik dan kamu menasihati Zaid supaya menerima penjelasan hutang dengan baik,” kemudian Rasulullah menjelaskan keadaan sebenar dengan katanya, “Sesungguhnya baki dari hutang itu tiga cupak lagi”, lalu Rasulullah menyuruh Omar membayar dan diganda selain dari hutang itu dua puluh cupak lagi.
Peristiwa itu meninggalkan kesan yang mendalam di jiwa Zaid serta menjadi impian untuk mendekati Rasulullah. Akhirnya, peristiwa itu membawa dorongan kepada Zaid untuk memeluk agama Islam. Kisah ini aku simpan elok-elok di dalam memori sendiri. Sekurang-kurangnya aku mengerti erti sabar dalam hidup.
Aku berlari mendapatkan bas yang telah tiba. Bukan sukar untuk bertemu bas yang sesak seperti ikan sardin di dalam tin. Di Mesir, suasana ini selalu ditemui. Jikalau bas kosong, bukanlah namanya bumi Mesir. Musim panas yang membahang serta bau-bauan yang menusuk ke dalam rongga hidung sudah lali bagiku. Inilah sebuah pengalaman.
Dataran Hayyu Asyir tidaklah sejauh mana. Jaraknya hanya empat kilometer daripada rumahku di Hayyu Sabi’e. Namun sebagai mahasiswa, aku jarang menaiki teksi kerana ingin berjimat. Di dataran ini juga adalah tempat berhimpun mahasiswa Malaysia ketika menyambut hari kemerdekaan negara. Setiap tahun, pastinya upacara gemilang ini akan disambut di sini. Tahun lalu, aku menjadi kontinjen perbarisan mewakili Persatuan Anak Negeri Johor Mesir. Bangga, kerana aku anak Malaysia.
Pertemuan dengan Hud petang itu ditunaikan tanpa berjanji kosong. Rasulullah s.a.w. tidak gemar orang yang memungkiri janji. Aku sememangnya takut dan khuatir dituduh munafik. Sebagai seorang mahasiswa Al-Azhar, aku pernah mendalami dan mempelajari sifat-sifat orang munafik. Pertama, apabila mereka berkata tetapi katanya dusta. Kedua, apabila mereka berjanji tetapi janji mereka itu dimungkiri dan ketiga, apabila mereka di amanahkan untuk menjalankan sesuatu perkara mereka mengkhianati amanah itu. Gusar hatiku itu, aku segera melajukan gerak perjalananku.
Petang – petang begini, mahasiswa akan memenuhi ruang dataran. Ada yang bermain sepak takraw, dan ada pula yang lebih selesa duduk di kantin Asrama Pelajar Rumah Selangor menikmati minum petang.
Usai tiba di perkarangan dataran, aku mencapai telefon bimbit di kocek kananku. Belum sempat aku menekan kekunci telefon, aku di tarik ke satu ruang sudut kecil belakang Asrama Pelajar Rumah Selangor.
“Kenapa ni Hud? Ada masalah apa ni?”
“Nazim, anta dilantik sebagai pengarah sambutan kemerdekaan pada tahun ini. Ini surat pelantikannya dan minta hadiri mesyuarat esok pagi.” Hud mengunjukkan aku surat yang ditandatangani oleh Yang Dipertua Persatuan Pelajar Malaysia di Mesir.
“Mengapa ana? Antum tak pernah berbincang perkara ini dalam mesyuarat pun? Dan pertemuan kita petang ini seolah-olah ada konspirasi.” Nazim sedikit memberontak.
“Semuanya syura yang putuskan. Anta kena terima. Kita sudah tiada calon yang bersesuaian. Bukankah anta faham tentang wala’? Sebagai seorang pemimpin Islam, meletakkan kecintaan yang sebenar serta kesetiaan dan penghormatan yang tinggi kepada pimpinan merupakan satu daripada tanggungjawab kita. Jangan khuatir, kalau kita benar-benar ikhlas membantu kerana Allah, Allah akan membantu.” Hud bersungguh-sungguh memujuk.
“Mengapa calon sebelum ini tidak dikekalkan?”
“Siapa? Muhammad? Ana akan ceritakan kemudian. Anta perlu hadir mesyuarat esok pagi di pejabat rasmi persatuan, ya.”
***
Sudah tiga malam aku tidak melelapkan mata. Memikirkan taklifan yang baru diamanahkan tempoh hari bukannya sesuatu yang mudah. Merancang, mengendalikan serta memikirkan format acara pada tahun ini perlu disegerakan. Lebih-lebih lagi sambutan kemerdekaan ke- 50 perlu disambut di dalam suasana yang berbeza.
Kegelisahan hatiku mula memuncak. Sambutan kemerdekaan pula akan tiba tidak lama lagi. Wajarkah aku melepaskan amanah yang cukup besar ini? Aku tidak mahu bara’ dalam perjuangan. Rasulullah s.a.w. amat menekankan hidup di dalam jemaah. Jika aku tidak wala’ kepada pemimpin, aku khuatir jemaah akan hancur dan binasa. Sayidina Omar juga pernah mengingatkan bahawa takkan ada Islam tanpa adanya jamaah, takkan ada jamaah tanpa adanya pimpinan dan takkan adanya pimpinan tanpa adanya ketaatan.
Hati kecilku merayu sabar. Sesekali ada linangan airmata mencecah ke bumi. Akur menerima taklifan. Taklifan yang bukan dipinta. Harapku moga Allah juga yang membantu.
Keheningan malam serta tiupan angin panas menghinggap ruang jendela rumah sewaku. Waktu malam yang pendek sebegini jarang dapat melelapkan mata. Mindaku menerawang teringatkan Riko. Riko kawan karibku di kuliah. Sebagai mahasiswa dari negara Indonesia, kami mengakrabi antara satu sama lain. Lumrah. Mahasiswa Malaysia dan Indonesia serumpun di bawah satu bumbung. Biarpun dialek kami berlainan, tetapi itu bukan masalah bagiku.
Ribuan mahasiswa daripada kedua-dua negara ini langsung tidak pernah berjurang. Ada sahaja aktiviti bersama yang kami anjurkan. Merapatkan ukhuwah sesama Islam memang dituntut di dalam agama. Allah Taala berfirman, sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara.
Riko peramah orangnya. Rambutnya yang lurus hingga ke bahu itu, jarang-jarang disikat. Itu fesyen, katanya. Setahu aku, Riko bukannya orang senang. Ibunya hanya seorang petani di sebuah kampung di Jambi, Indonesia. Anak yatim ini tidak pernah mempamerkan kesengsaraan hidupnya. Aku tahu, sebagai anak sulung, Riko semestinya mahu mencapai hasrat untuk menjadi seorang mahasiswa yang berjaya menggulung sebuah ijazah suatu hari nanti. Cita-cita menjadi murabbi bukanlah suatu yang sia-sia.
“Antum semua beruntung benar. Bermukim di negara yang sejahtera dan aman. Tidak pula bagi kami. Ayah dan ibu kami bukan orang senang. Walaupun sudah merdeka, negara kami seolah-olah masih dijajah. 17 Ogos 1945, tarikh keramat negara kami telah merdeka. Kami merdeka lebih awal daripada Malaysia. Walaupun sedemikian, negara kami bukan aman seperti negara antum. Pernah tak antum semua bersyukur?”
“Kami amat bersyukur kerana negara kami sudah merdeka. Sayangnya, sesetengah orang tidak mengambil berat dan tidak bersyukur dengan kemerdekaan negara yang sedang mereka kecapi. Bagi mereka, keamanan dan kemakmuran adalah sesuatu yang biasa dan bukannya hasil kesungguhan pemimpin atau orang yang terdahulu. Mereka merasakan memang sudah menjadi tanggungjawab pemimpin yang terdahulu untuk memperjuangkan kemerdekaan negara. Malah, dalam meraikan hari kemerdekaan, untuk membeli bendera pun mereka berkira. Mereka lupa bahawa terdapat negara di dunia ini yang walaupun sudah merdeka tetapi tetap dijajah seperti negara Iraq dan Afghanistan. Mereka hidup di bawah penguasaan dan telunjuk pihak luar.”
“Mabruk! Sekurangnya-kurangnya antum sudah mengenal erti kemerdekaan negara sendiri. Apa benar?”
“Tidak! Negara kami juga masih dijajah. Tapi, bukan British yang menjajah kami. British sudah membebaskan kami hampir lima puluh tahun yang lalu. Tetapi kami sedih. Negara kami majoritinya Islam, namun adik- beradik kami semuanya dangkal tentang Islam. Mereka meletakkan solat hanya sebagai rukun Islam yang kedua tanpa mengamalkannya. Anak-anak merdeka yang lain pula tidak tahu mengaji al-Quran. Kami pernah mengajarkan mereka, tetapi mereka menggelengkan kepala tanda tidak mengerti apa itu mengaji.”
“Bukankah antum semua tahu, kita telah ditipu oleh penjajah?”
“Ditipu?”
“Mereka memerdekakan kita kerana mahu kita berpecah-belah. Pada tahun 1935, seorang ketua gerakan Kristianisasi, Zweimer ketika menyampaikan ucapan semasa persidangan kebangsaan di Palestin menyatakan bahawa – Tugas kita yang paling utama bukanlah membawa mereka kepada agama Kristian, tetapi tugas kita ialah memisahkan orang Islam daripada agama mereka sehingga tiada lagi hubungan mereka dengan Allah, seterusnya menjadi masyarakat yang tidak berakhlak.”
“Kenapa sampai begitu sekali?”
“Penjajah juga telah mengajar kita apakah definisi kemerdekaan dan mereka mahu kita memahami kemerdekaan dengan definisi yang diberikan oleh mereka. Mereka buat apa sahaja dan mahu kita faham bahawa erti kemerdekaan adalah dengan wujudnya pemerintahan sendiri berdasarkan sempadan-sempadan yang mereka telah lukiskan.”
“Maksudnya?”
“Mereka telah memerdekakan kita, tetapi kita masih belum lagi merdeka dengan akhlak kita.”
“Benar. Adik-beradik kami di sana cukup berbeza. Mereka lebih sukakan hiburan, keseronokan dan kehidupan yang bebas. Bagi mereka, merdeka hanyalah bebas daripada penjajah. Mereka tidak pernah mentafsirkan bahawa kemerdekaan yang sebenar adalah kemerdekaan di dalam rohani. Mereka lebih suka hidup memakan harta riba dan lebih rela menghirup najis dadah dan arak yang telah Allah Taala haramkan.”
“Antum semua tidak pernah berdakwah?”
“Bukan sahaja berdakwah, malah khutbah Jumaat yang dibacakan di dalam bahasa Malaysia pada setiap minggu juga tidak pernah diambil perhatian. Mereka tidak pernah gementar terhadap ayat-ayat Allah di dalam al-Quran yang menjanjikan balasan dan azab yang buruk bagi yang langsung tidak beriman kepada Allah. Mereka hanya yakin bahawa usia emas adalah waktu untuk beribadah, waktu untuk mengenal Tuhan dan waktu mereka untuk bertaubat.”
***
“Nazim, saya cadangkan sambutan tahun ini kita gabungkan bersama Negara-negara Asia yang lain. Bukankah Singapura, Indonesia, dan Malaysia merdeka di dalam bulan yang sama? Bulan Ogos. Kita boleh menjemput mereka daripada Negara Pakistan yang merdeka pada 14 Ogos, juga Negara India sehari selepas itu.” Salah seorang ahli mesyuarat memberikan pendapat yang bernas kepadaku.
“Ini satu cadangan yang menarik. Insya-Allah, jika Yang Dipertua bersetuju saya akan maklumkan menerusi jawatankuasa promosi beberapa hari lagi.”
“Bagi kami tiada masalah. Namun, perlu ada kesefahaman di dalam bekerja. Kami khuatir ada akhawat-akhawat dari Negara luar yang kurang senang bekerja dengan kami.” Seorang akhawat berhijab putih bersuara.
“Ada masalah pada pihak akhawat?”
“Baru-baru ini, apabila kami mengadakan festival mahasiswi serumpun, ada sedikit pergelutan berlaku. Namun, segalanya dapat diatasi dengan cara yang baik.”
“Baiklah. Jika tiada apa-apa lagi masalah, mesyuarat kita sampai di sini sahaja. Ana yakin dan percaya, antum bekerja kerana Islam dan mampu menggalas tugas dengan baik dan ikhlas. Ana perlukan seribu orang mahasiswa yang terlibat dalam acara perbarisan nanti. Ana minta kerjasama daripada semua Yang Dipertua Persatuan Anak-Anak Negeri menghantar wakil- wakil mereka sekurang-kurang tiga puluh orang bagi setiap negeri. Insya-Allah, kontinjen yang terbaik akan menerima anugerah pada hari tersebut yang akan disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Datuk Duta. Ini adalah mesyuarat terakhir bagi kita. Sebarang permasalahan boleh terus rujuk pada ana atau hubungi ana pada bila-bila masa.”
Mesyuarat terakhir itu melegakan diriku. Sekurang-kurangnya aku kini sudah mencapai takah terakhir untuk menunggu hari yang penuh sejarah itu. Persiapan pentas, acara-acara pertandingan dewan seperti pertandingan deklamasi puisi, pesta pantun, debat, nasyid dan macam-macam lagi acara telahku susun bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan di bumi Mesir pada tahun ini.
Seperti tahun-tahun yang lalu, tanpa pertandingan nasyid sambutan kemerdekaan sememangnya kurang meriah. Jemputan daripada kumpulan nasyid tanah air, kumpulan Soutul Nadwah telah pun aku selesaikan. Itupun dengan bantuan Hud. Hud memang kenal pada abang Saufi. Abang Saufi merupakan ketua kumpulan nasyid Soutul Nadwah. Kumpulan ini memang terkenal di Malaysia. Bukan itu sahaja, Riko pula telah membantuku mempromosi jualan tiket konsert kemerdekaan kepada rakan-rakan senegaranya. Sekurang-kurangnya sambutan kemerdekaan pada tahun ini bukan sahaja perlu mengeluarkan perbelanjaan yang banyak, tetapi hasil kemasukannya pun banyak.
Aku perlu mensasarkan jumlah kutipan tiket konsert melebihi sepuluh ribu junaih untuk menampung kewangan Persatuan Pelajar Malaysia di Mesir. Aku tahu, sebagai pemimpin persatuan aku perlu berfikir dengan baik supaya ekonomi persatuan akan kukuh dan terancang. Sekurang-kurangnya inilah tenaga yang dapat diberikan sepanjang aku berada di dalam kepimpinan ini.
Cadangan daripada beberapa orang ahli jawatankuasa aku terima dengan baik. Pada tahun ini, sambutan ditambah dengan beberapa acara lagi. Khususnya acara padang. Aku faham, sebagai seorang mahasiswa lelaki tidak lengkap jika pertandingan bola sepak tidak diadakan.
Acara padang dimulakan terlebih awal daripada acara yang lain. Tahun ini, lokasi berpusat di Bandar Zaqaziq. Jaraknya seratus kilometer dari Bandar Kaherah. Mahasiswa Malaysia di Zaqaziq bukanlah ramai sangat. Namun, sekurang-kurangnya bayu Kaherah dapat bertukar. Paling tidak, mahasiswa Malaysia di Zaqaziq lebih selesa menjadi tuan rumah. Pernah beberapa kali mereka suakan pendapat ini. Mereka mahukan perubahan. Perubahan cuaca. Ada juga suara-suara sumbang yang aku dengar, “Kenapa asyik buat di Kaherah saja?”
Aku mengerti. Jiwa sebagai seorang insan sememangnya mahukan perubahan. Dan perubahan inilah yang aku cuba lakukan. Demi kebaikan semua pihak, aku tunaikan segala hajat mereka. Bukan untuk bermegah kerana aku seorang yang melayan karenah, tetapi aku yakin, sebagai seorang pemimpin kita wajar menerima pendapat ahli.
Menurut Imam Ghazali, kewajipan ke atas manusia ialah menjaga dan memperbaiki niat hatinya serta menjauhkan segala anggapan dan sangkaan buruk kepada saudaranya ketika bersama rakan-rakan. Kewajipan inilah yang dituntut oleh syariat kepada semua manusia supaya dapat menjaga hati untuk menjadi insan yang kamil dan sempurna di dunia dan akhirat.
Hati merupakan anggota yang paling berbahaya, dan sesiapa yang mempunyai hati yang sakit dan mati, ia akan memberi kesan yang sangat buruk terhadap permasalahan yang sukar untuk diperbaiki. Oleh yang demikian, Imam Ghazali menggariskan beberapa asas sebagai panduan menjaga dan mengubati hati.
Asas pertama, Allah berfirman di dalam surah al-Ghafir ayat 19 yang bermaksud : Allah mengetahui segala pengkhianatan yang bermula dari mata dan apa yang tersembunyi di dada setiap hamba. Ayat ini dapat difahamkan, jika seseorang berhasrat atau terlintas dihatinya hendak menghasut, prasangka, atau melakukan niat jahat, maka ingatlah bahawa Allah amat mengetahui setiap rahsia yang terdetik di dada hamba-Nya.
Asas kedua pula, daripada Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada paras rupa kamu dan tidak kepada tubuh badan kamu, dan sesungguhnya Allah tetap melihat kepada hati kamu dan segala amalan kamu yang berlandaskan keikhlasan hati. Benar! Ikhlas itu penting dalam hati. Aku faham, jarang daripada kita dapat ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara termasuklah aku.
Asas ketiga ialah hati merupakan ketua kepada anggota manakala anggota-anggota lain adalah ikutan kepada hati, jika elok isi hati maka tetaplah pendiriannya serta eloklah perilaku anggota-anggota lain yang semuanya mengikut kehendak-kehendak hati.
Aku teringatkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : Sesungguhnya di dalam jasad manusia didapati segumpal darah, apabila baik maka baiklah keseluruhan badannya, dan apabila buruk maka buruklah segala keperibadiannya, adakah tidak kamu tahu sesungguhnya itulah hati.
Bukan mudah menjaga hati orang lain. Tanggungjawab sebagai seorang pemimpin adalah lebih besar daripada segalanya. Aku bukanlah seorang yang dangkal di dalam berfikir. Mengerti kehendak ahli merupakan suatu yang perlu ditangani sebelum ianya lebih parah dan akan disoal di hari akhirat kelak.
***
Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Azan Subuh melaung tinggi. Bayu padang pasir masih lagi terasa. Waktu subuh begini adalah waktu yang mendamaikan. Banyak perkara yang sempat aku lakukan sebelum bermulanya sambutan di dataran pada pagi ini. Menghafaz ayat – ayat al-Quran mengikut muqarrar Universiti Al-Azhar serta membaca ma’thurat selepas Solat Subuh sudah menjadi amalan biasa. Wirid-wirid Imam Hassan Al-Banna ini aku amalkan setiap pagi dan petang. Tambahkan kekuatan rohani.
Telefon bimbitku berdering ringkas. Ada mesej pesanan ringkas masuk ke dalam.
“Makluman penting. Semua mahasiswa Malaysia dijemput berkumpul di Dataran Hayyu Asyir pada jam 8.00 pagi ini untuk sambutan bulan kemerdekaan. Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Datuk Duta.”
Aku tersenyum sendiri menyaksikan keindahan yang bakal dikecapi sebentar nanti. Harapku moga tiada gundah yang berlaku sepanjang majlis yang akan berlangsung. Tapi, jiwaku masih merundum hiba. Taklifan ini belum lagi terjawab. Sebab dan punca pertukaran aku masih tidak menemukan jawapan. Mengapa harus mereka merahsiakan segalanya?
“Buntu.”

Glosari :
Wosto – pemandu bas
Anta – awak
Ana – saya
Wala’ – taat di atas segala tanggungjawab yang diberikan oleh pemerintah
Bara’ – tidak taat (ingkar) di atas segala tanggungjawab yang diberikan oleh pemerintah
Taklifan – Tanggungjawab
Murabbi – Guru/Pendidik
Antum – Kamu
Mabruk – Tahniah
Akhawat – Mahasiswi
Junaih – Duit Ringgit (Bagi Negara Mesir)



CERPEN : Hadiah Untuk Ustaz

CERPEN
HADIAH UNTUK USTAZ
Oleh Syafiq Zulakifli

RINTIK hujan yang membasahi zink kaki lima sekolah masih belum berhenti. Sejak dua hari lepas hujan lebat membasahi kawasan persekitaran. Meladeni suasana dingin begini sememangnya tidak wajar. Nanti kantuk yang berbisa terus terbuai dengan mimpi-mimpi indah di siang hari. Usah disalahkan pelajar, guru sendiri juga tersenguk-senguk dalam kepenatan. Lumrah.

Ustaz Zaidi segera menyudahkan solat Zuhur di surau sekolah. Kemudian, dia meredah susur gajah sekolah ke bangunan pentadbiran. Sesekali rintik-rintik hujan menerkam baju yang dipakai. Biarpun begitu, dia terus berlari-lari anak untuk menyempurnakan sesi pengajaran petang itu.

Semenjak dua bulan bergelar ustaz di sekolah tersebut, hatinya sudah akrab sebagai seorang murabbi. Cita-citanya satu. Dia hendak melahirkan pelajar-pelajar yang mampu mengenal tuntutan Islam yang wajib serta melaksanakan perkara-perkara yang makruf dan meninggalkan perkara-perkara yang mungkar.

“Kalau awak hidup lama-lama kat dunia, tapi tidak menunaikan solat lima waktu, sia-sia saja!”

Leteran Ustaz Zaidi tidak pernah padam pada ingatan para pelajarnya. Malah, ada juga pelajar yang langsung tidak menghiraukan leteran itu. Bagi Ustaz Zaidi, inilah cara mendidik. Jika penjaga tidak sanggup melaksanakan tugasan mereka di rumah, sebagai guru agama pastinya beliau akan mengambil alih tugas di sekolah. Jika ada pelajar yang sengaja ponteng solat Zuhur dan Asar berbilailah punggung pelajar masing-masing. Ada yang terhincut-hincut kesakitan dan ada yang menangis teresak-esak dengan sebatan yang diberikan.

Niatnya untuk mengajar dan mendidik. Biarpun beberapa kali menerima tamparan suara-suara belakang yang menafikan haknya sebagai guru agama, dia tidak pernah hiraukan.
Hari ini, kelas Tingkatan 2 Hikmah menjadi sasaran.

“Siapa yang tidak solat Asar tadi, bangun!” Ustaz Zaidi meninggikan suara hingga bergema satu kelas.

Ada wajah pucat menjelma daripada beberapa orang pelajar lelaki. Seorang demi seorang bangun.

“Lagi! Awak ingat saya tak tahu?” Desakannya memaksa beberapa orang lagi pelajar berdiri mengaku dalam serba ketakutan.

“Ini saja? Ada lagi!” Ustaz Zaidi menjerkah buat kali kedua.

Matanya mengerling ke arah Nizam yang sedang berdiri. Beralih ke arah Hadi yang sudah lama diperhatikan tidak pernah ke surau. Jika dikejarnya, meleset hilang si Hadi daripada penglihatannya. Tetapi tidak pada hari ini. Pandangannya tepat mengenai muka anak muridnya itu. Dia menyeluruhi tubuh Hadi lantas rotan yang berada di tangan dihayun ke atas meja guru.

“Pap!”

Beberapa orang pelajar perempuan yang duduk berhampiran tersentak. Ada pula yang berubah wajah. Senyap setagal. Yang hanya didengari hanyalah ligat kipas berputar di ruang udara.

“Awak nak saya buat apa dengan mereka berdua?”

Tiada sebutir suara yang berani keluar daripada mulut para pelajar.

“Awak tahu hukum tidak menunaikan solat? Jika awak di rumah ibu bapa tidak pernah menghiraukan awak, tapi jangan awak ingat terlepas di sekolah.” Suara lantang Ustaz Zaidi bergema hingga ke kelas berhampiran.

Ustaz Zaidi membaca sepotong hadis Rasullullah kepada para pelajarnya.

“Ingat! Dalam satu hadis Rasulullah menyebut; Suruhlah anak-anak kamu sembahyang apabila usia mereka meningkat tujuh tahun dan pukullah mereka jika mereka meninggalkannya apabila usia mereka meningkat sepuluh tahun. Jadi awak sudah tahu hukuman awak hari ini?”

Hayunan rotan menerjah sekali lagi ke atas meja guru. Raut wajah bimbang sudah menjelma untuk pelajar-pelajar yang sedang berdiri menghadap gurunya itu.

Ustaz Zaidi menghampiri Nizam seraya menjerkah, “Apa alasan awak Nizam?”

“Malas.”

Hati Ustaz Zaidi remuk dengan jawapan yang mudah dan ringkas seolah-olah mencabarnya untuk menyebat sahaja tanpa ada lagi soalan lain. Jiwanya menahan sabar. Dia faham, sebagai pendidik tidak wajar menghukum tanpa memberikan peluang kepada pelajarnya untuk membela diri masing-masing. Mungkin ada sebab pelajarnya tidak menunaikan solat pada hari tersebut.

“Malas! Awak tahu apa hukuman bagi orang malas?” Ustaz Zaidi yang naik berang tiba-tiba terus memberikan tekanan kepada pelajar-pelajarnya. Dia menuju ke arah Hadi yang daripada tadi dilihat tunduk menekur ke bumi tanpa banyak alasan.

“Apa alasan awak?” Ustaz Zaidi cuba mengawal marahnya.

“Saya tak sempat ustaz. Tadi loceng dah bunyi, saya bergegas naik ke kelas. Takut disebat oleh Cikgu Rahim.”

Para pelajar sekolah ini amat menggeruni Cikgu Rahim. Jika ada yang berambut panjang, keluar kelas tanpa pas kebenaran dan bermacam-macam lagi kesalahan ringan yang dilakukan, guru disiplin tersebut tidak akan terlepas untuk mencari mangsanya. Lebih-lebih lagi pelajar-pelajar bermasalah yang acapkali mengulangi kesalahan yang sama.

Jiwa Ustaz Zaidi pernah berkali-kali terdetik, “Mengapa para pelajar lebih takut dengan guru disiplin daripada guru agama?” Bimbang perkara itu akan menjadi buah mulut, dibiarkan sahaja niatnya itu terpendam di dalam diri. Sekurang-kurangnya apabila dia memegang rotan di tangan, akan bertempiaran lari pelajar-pelajar menuju ke surau ketika waktu solat.

“Solat itu tiang agama. Sesiapa yang mengerjakannya, dia menegakkan agamanya, sesiapa yang meninggalkannya, dia meruntuhkan agama. Awak faham!”

Seisi kelas menjawab serentak.

“Faham.”

“Awak cakap dengan saya, sampai bila awak baru nak solat? Sampai umur awak dah tua?

Sampai Izrail datang bertemu dengan awak?” Ustaz Zaidi ralit menasihati para pelajarnya di dalam kelas tersebut.

“Barangkali saya sudah tidak layak menjadi guru kamu.” Ustaz Zaidi semacam merajuk hati. Suaranya dikendurkan sedikit. Mungkin hendak menghilangkan marahnya daripada terus meluap. Para pelajar berpandangan sesama sendiri.

“Kalau awak hendak tahu, ada orang mengatakan sembahyang itu yoga.”

“Yoga?” Para pelajar berpandangan sesama sendiri.

“Yang penting, solat itu adalah zikir yang paling mulia. Tuhan menyatakan dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud, “Dan zikrullah (iaitu solat) adalah lebih besar keutamaannya.”

Beberapa orang pelajar di hadapan terlongo.

“Berhubung dengan yoga, saya nak jelaskan dengan awak pun, takut awak tak faham. Ok, beginilah ada satu buku namanya Journal of the Royal Society of Medicine mengatakan bahawa yoga sebagai satu sistem pembangunan insan tertua yang merangkumi jasad, akal dan rohani. Semasa orang melakukan yoga, mereka akan meletakkan kepala mereka ke bumi dan pada peringkat kemuncaknya mereka akan meluruskan badan supaya kaki mereka berada di atas. Inilah yang menyebabkan ramai doktor-doktor di Harvard sering menyuruh pesakit-pesakit mereka mengamalkan yoga ini. Mungkin untuk mencerna kesihatan.”

“Kalau macam tu, yoga ni ada kaitan dengan solat ke ustaz?” Suhaila yang berada di hadapan tiba-tiba berani menyampuk.

“Apabila kita lihat secara menyeluruh, memang terdapat beberapa unsur yoga dalam sembahyang. Salah satu kedudukan terpenting dalam sembahyang adalah ketika sujud. Awak lihat, semasa awak semua sujud, tentunya kepala awak diletakkan ke bumi dan pada kedudukan inilah darah dari jantung awak semua akan turun ke otak dengan mudah sekali.”

“Jadinya, kalau orang yang tak sembahyang, darahnya tak turunlah sampai ke otak.” Suhaila menyambung lagi.

“Ya!”

“Nizam! Hadi! Awak faham apa yang saya perkatakan?”

Kedua-dua orang pelajar tadi tergangguk-angguk perlahan. Bimbang diasak dengan pelbagai soalan yang lain.

“Saya minta maaf ustaz.” Nizam memberanikan diri untuk bersuara.

“Bukan minta maaf dengan saya. Minta maaf dengan Allah. Mohon taubat banyak-banyak terhadap kesilapan yang awak sudah lakukan. Kalau awak tak nak menunaikan solat hari ini sampai bila lagi awak mahu kerjakan solat ini. Kalau hari ini awak tidak lakukan, jangan haraplah dah besar nanti awak hendak melakukannya.”

“Tentu sahaja awak sudah ralit melihat abang-abang awak yang sudah besar melepak sana-sini di pusat – pusat hiburan. Merokok. Ada pula yang mengambil dadah, dan tidak kurang pula yang sudah berani berzina. Bukankah solat itu mencegah seseorang daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar?”

Nizam dan Hadi tunduk bersalah mendengar akan nasihat bertalu-talu daripada ustaznya itu. Malu menyeluruhi tubuh mereka. Merah padam wajah kedua-dua anak muridnya itu yang jelas-jelas putih melepak.

Ustaz Zaidi membetulkan kaca matanya yang sedikit terjatuh ke bawah.

“Saya akan lihat esok. Jika ada yang tidak menunaikan solat, awak akan tahu apa habuannya nanti.” Ustaz Zaidi sengaja mengasak mereka dengan ugutan tersebut sebelum meninggalkan kelas.

Seisi kelas hingar sebentar. Nizam dan Hadi yang ketakutan tadi sudah hilang debarnya.

***

Ustaz Zaidi tiba lewat di sekolah hari ini. Ada mesyuarat Panitia Pendidikan Islam Peringkat Daerah di Pusat Kegiatan Guru, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Anggerik. Tergesa-gesa Ustaz Zaidi naik ke bilik guru semata-mata tidak mahu meninggalkan kelas tanpa alasan. Baginya, masa di dalam kelas adalah amat berharga. Walau seminit pun, dia akan berusaha menepati amanahnya itu sebagai seorang guru.

Beberapa orang guru yang terserempak dengannya di kaki lima bangunan sekolah menyapanya. Dengan senyum tawar, Ustaz Zaidi sempat bertanya khabar sahaja. Lalu, dia meninggalkan pergi untuk ke bilik guru.

Usai tiba di pintu bilik guru, beberapa orang guru memandangnya separuh tajam. Apakah mungkin aku membuat salah? Hatinya berbisik. Atau adakah aku akan dimarahi oleh Penyelia Petang kerana lewat ke sekolah. Persoalan bercampur-baur ketika itu. Hatinya bergalau. Namun, segalanya disimpan ke tepi. Dibuang jauh-jauh. Nubarinya satu. Tingkatan 2 Hikmah sudah tiba giliran mengikut jadual persendirian hari ini.

“Pekeliling apa pula ni?”

Ustaz Zaidi melihat satu surat putih saiz A4 di atas mejanya. Dengan bercop rasmi sekolah di sebelah kanan, ruangan “Sila Ambil Tindakan Segera” ditandakan. Surat ini di atas namanya.

Dibacanya dari baris ke baris sehingga penutup surat tersebut. Benar! Surat tersebut adalah surat daripada Kementerian Pelajaran Malaysia. “Pekeliling Baru Kuasa Merotan Pelajar Tidak Solat.”

Jiwanya tersentak hiba. Mungkin ini sebuah anugerah yang datang kepada dirinya. Diam sejeda. Gamam yang amat. Dia mengerling ke kanan dan ke kiri. Kosong. Mungkin beberapa orang guru sedang sibuk di kelas masing-masing.

Dia mengulang baca surat tersebut. Mungkin ingin mempastikan bahawa surat itu ada kebenarannya. Dia berulang-ulang kali mengucapkan syukur kepada Allah. Seolah-olah impiannya kini telah tercapai. Bukan impian untuk melaksanakan kuasa merotan. Tetapi sekurang-kurangnya ada keprihatinan daripada pihak yang berkuasa.

***

Seindah Taman Firdausi di syurga nanti, begitulah indah pemandangan di dalam surau saat azan Zuhur itu berkumandang. Gerombolan para pelajar yang penat mendengar amanat daripada Tuan Pengetua pagi tadi sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah berasak-asak menuju ke surau sekolah. Hati mana yang tidak tersentuh dengan kelibat anak-anak yang punya wawasan untuk berubah. Perihal manusia yang mahukan perubahan jelas terpamer di wajah para pelajarnya itu. Tengah hari itu surau sekolah penuh dengan kelibat para pelajar berduyun-duyun memenuhi ruang tempat menunaikan solat.

“Ini untuk Ustaz. Selamat Hari Guru.” Nizam menghulurkan sekotak bungkusan hadiah kepada Ustaz Zaidi usai menunaikan solat Zuhur.

Dagu pandak anak muda itu dipandang dalam-dalam. Tanda kesucian jelas mewarnai setiap pancainderanya. Sesekali, senyum tawar yang dipersembahkan merupakan azam yang tersimpul tanpa terarah sebuah keterpaksaan di dalam diri.

“Terima kasih ustaz yang mengajar saya mengenal Tuhan.”