Tuesday, April 21, 2009

CERPEN : Sebuah Rahsia Merdeka

Cerpen ini memenangi Hadiah Saguhati, Sayembara Penulisan Cerpen Jawi, Perpustakaan Negara Malaysia 2007.

CERPEN
TAJUK : SEBUAH RAHSIA MERDEKA
Syafiq bin Zulakifli

RIPUH Kota Kaherah sudah menjadi adat. Adat Timur Tengah kata sebahagian orang arab Mesir. Di sini juga, wafatnya Abu Abdullah Muhammad bin Idris, pengasas Mazhab Syafie. Imam Syafie terkenal di kalangan orang Malaysia. Bukan kerana dirinya, tetapi mazhabnya yang menjadi pegangan orang- orang di rantau Asia.
Sudah tiga tahun aku menetap di kota sejarah Nabi Musa dan Firaun ini. Pengalaman merantau di sini, mengajar aku erti sebuah pengorbanan. Pengorbanan menjadi seorang khalifah yang ingin mencedok rahsia keunggulan agama Islam. Namun, penggembaraan di sini masih belum berakhir. Tempoh pengajian yang masih berbaki hampir setahun lagi, memaksa aku berada di kota ini.
Dua bulan cuti semester sudah berlalu. Seperti tahun – tahun yang lalu, musim panas sebegini memaksa kebanyakan pelajar Malaysia menghabiskan cutinya untuk pulang ke tanah air. Tidak pula bagi aku. Aku lebih suka menghabiskan permusafiran ini untuk menimba ilmu di pondok – pondok kecil Al-Azhar. Bukankah Al-Azhar adalah kiblat ilmu yang menghidangkan segalanya? Setelah Mekah Al-Mukarramah menjadi kiblat ibadah, Mesir pula kaya sebagai tempat khazanah ilmu untuk mereka yang ingin bergelar ulama.
Di sini lahirnya ulama-ulama muktabar yang diakui akan kehebatannya. Mereka menulis, membaca serta menjadikan bidang pengajian ilmu sebagai medium utama negara. Justeru, tidak hairanlah pada tiap-tiap tahun akan diadakan pesta buku antarabangsa yang terbesar di dunia di sini. Pesta buku ini akan berlangsung selepas semester pertama sesi pengajian sekitar awal bulan Februari. Syarikat-syarikat buku antarabangsa sedunia tidak pernah ketinggalan daripada menyertainya.
Beberapa kali juga aku pernah terserempak dengan wanita berkebaya muslim dan lelaki berkot hitam kemas serta bertali leher di pesta buku tersebut. Aku suakan pertanyaan dan khabar kepada mereka. Mereka orang Malaysia. Berkunjung ke sini semata-mata untuk mencari buku sebagai bahan rujukan. Katanya, di perpustakaan negara jarang ditemui buku-buku hasil karyawan timur tengah. Lebih-lebih lagi, buku-buku tersebut sentiasa mempunyai keluaran yang terbaru. Sebagai pengkaji bidang fatwa, mereka harus mendapatkannya dengan segera. Bukan itu sahaja, kajian di Mesir juga lebih baik berbanding negara – negara arab yang lain. Mereka yang hadir bukan calang-calang orang. Mereka adalah pensyarah-pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia. Kehadiran mereka ke sini sekurang-kurangnya memperkenalkan aku dengan beberapa orang pensyarah daripada negara sendiri. Pernah aku berjanji, selepas tamat pengajian di sini, aku ingin menyambung pelajaranku di Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia.
Petang yang damai dengan suhu membahang di luar, menjadikan aku kurang selesa menghabiskan masa di luar rumah. Tetapi, aku perlu bertemu dengan Hud. Selepas solat Zuhur tadi di Masjid Salam Hayyu Sabi’e, Hud minta bertemu dengannya di Dataran Hayyu Asyir.
Demi menunaikan janji, aku segerakan langkahku ke Dataran Hayyu Asyir. Bas ke Bandar Hayyu Asyir hanya ada dua. Jika terlewat, masa yang dijanjikan akan terkandas. Di Bandar Kaherah, jarang dapat melihat bas berhenti di stesennya. Menjadi kebiasaan, wosto hanya akan memperlahankan basnya, lantas penumpang semua akan melompat daripada pintu bas ke jalan raya.
Aku ketawa kecil. Pernah jua aku, terpijak jubah labuh seorang wanita arab di sini. Bukan disengajakan. Koyak sedikit. Sejujurnya, aku lihat wanita itu memang sedikit berang, tetapi demi meredakan keadaan, aku minta maaf di atas perkara yang telah terjadi. Orang-orang Mesir bukannya semua yang berang dan masam mencuka. Walaupun kebanyakannya sebegitu, tetapi ada yang lebih lembut daripada orang-orang Malaysia.
Jiwaku lega seketika. Tiada langsung maki hamun yang dituturkan padaku. Mungkin, wanita arab tadi melazimi firman Allah Taala dalam surah al-Nahl ayat 126 : Dan sekiranya kamu bersifat sabar itulah kebaikan bagi orang-orang yang bersabar. Bukankah sabar itu sifat mulia?
Sabar amat pahit dirasai tetapi hasilnya manis sekali. Itulah ungkapan yang sering didengar saban hari, namun manusia selalu kecundang di sebaliknya. Rasulullah s.a.w. amat menekankan erti sabar dalam hidup. Baginda telah membuktikan bahawa kejayaan baginda adalah berbekalkan kesabaran yang kuat sehingga golongan kafir Quraish menerima Islam kerana terpikat dengan kelembutan dan kesabaran baginda.
Hal ini pernah dibuktikan di dalam sejarah perjuangan baginda dan kisah-kisah yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah sendiri. Satu ketika, sebelum memeluk Islam Zaid bin Sa’amah telah datang menagih hutang kepada Rasulullah secara kasar iaitu dengan memegang bahu dan menarik baju Rasulullah serta meluahkan kata-kata, “Kamu bani Abdul Mutalib yang sukar membayar hutang”, lantas Zaid diherdik oleh Saidina Omar dengan mengeluarkan kata-kata yang kasar. Rasulullah tersenyum kemudian berkata, “Antara aku dan Zaid bukanlah cara begini kau lakukan wahai Omar. Sepatutnya kamu menyuruh aku supaya menjelaskan hutang dengan baik dan kamu menasihati Zaid supaya menerima penjelasan hutang dengan baik,” kemudian Rasulullah menjelaskan keadaan sebenar dengan katanya, “Sesungguhnya baki dari hutang itu tiga cupak lagi”, lalu Rasulullah menyuruh Omar membayar dan diganda selain dari hutang itu dua puluh cupak lagi.
Peristiwa itu meninggalkan kesan yang mendalam di jiwa Zaid serta menjadi impian untuk mendekati Rasulullah. Akhirnya, peristiwa itu membawa dorongan kepada Zaid untuk memeluk agama Islam. Kisah ini aku simpan elok-elok di dalam memori sendiri. Sekurang-kurangnya aku mengerti erti sabar dalam hidup.
Aku berlari mendapatkan bas yang telah tiba. Bukan sukar untuk bertemu bas yang sesak seperti ikan sardin di dalam tin. Di Mesir, suasana ini selalu ditemui. Jikalau bas kosong, bukanlah namanya bumi Mesir. Musim panas yang membahang serta bau-bauan yang menusuk ke dalam rongga hidung sudah lali bagiku. Inilah sebuah pengalaman.
Dataran Hayyu Asyir tidaklah sejauh mana. Jaraknya hanya empat kilometer daripada rumahku di Hayyu Sabi’e. Namun sebagai mahasiswa, aku jarang menaiki teksi kerana ingin berjimat. Di dataran ini juga adalah tempat berhimpun mahasiswa Malaysia ketika menyambut hari kemerdekaan negara. Setiap tahun, pastinya upacara gemilang ini akan disambut di sini. Tahun lalu, aku menjadi kontinjen perbarisan mewakili Persatuan Anak Negeri Johor Mesir. Bangga, kerana aku anak Malaysia.
Pertemuan dengan Hud petang itu ditunaikan tanpa berjanji kosong. Rasulullah s.a.w. tidak gemar orang yang memungkiri janji. Aku sememangnya takut dan khuatir dituduh munafik. Sebagai seorang mahasiswa Al-Azhar, aku pernah mendalami dan mempelajari sifat-sifat orang munafik. Pertama, apabila mereka berkata tetapi katanya dusta. Kedua, apabila mereka berjanji tetapi janji mereka itu dimungkiri dan ketiga, apabila mereka di amanahkan untuk menjalankan sesuatu perkara mereka mengkhianati amanah itu. Gusar hatiku itu, aku segera melajukan gerak perjalananku.
Petang – petang begini, mahasiswa akan memenuhi ruang dataran. Ada yang bermain sepak takraw, dan ada pula yang lebih selesa duduk di kantin Asrama Pelajar Rumah Selangor menikmati minum petang.
Usai tiba di perkarangan dataran, aku mencapai telefon bimbit di kocek kananku. Belum sempat aku menekan kekunci telefon, aku di tarik ke satu ruang sudut kecil belakang Asrama Pelajar Rumah Selangor.
“Kenapa ni Hud? Ada masalah apa ni?”
“Nazim, anta dilantik sebagai pengarah sambutan kemerdekaan pada tahun ini. Ini surat pelantikannya dan minta hadiri mesyuarat esok pagi.” Hud mengunjukkan aku surat yang ditandatangani oleh Yang Dipertua Persatuan Pelajar Malaysia di Mesir.
“Mengapa ana? Antum tak pernah berbincang perkara ini dalam mesyuarat pun? Dan pertemuan kita petang ini seolah-olah ada konspirasi.” Nazim sedikit memberontak.
“Semuanya syura yang putuskan. Anta kena terima. Kita sudah tiada calon yang bersesuaian. Bukankah anta faham tentang wala’? Sebagai seorang pemimpin Islam, meletakkan kecintaan yang sebenar serta kesetiaan dan penghormatan yang tinggi kepada pimpinan merupakan satu daripada tanggungjawab kita. Jangan khuatir, kalau kita benar-benar ikhlas membantu kerana Allah, Allah akan membantu.” Hud bersungguh-sungguh memujuk.
“Mengapa calon sebelum ini tidak dikekalkan?”
“Siapa? Muhammad? Ana akan ceritakan kemudian. Anta perlu hadir mesyuarat esok pagi di pejabat rasmi persatuan, ya.”
***
Sudah tiga malam aku tidak melelapkan mata. Memikirkan taklifan yang baru diamanahkan tempoh hari bukannya sesuatu yang mudah. Merancang, mengendalikan serta memikirkan format acara pada tahun ini perlu disegerakan. Lebih-lebih lagi sambutan kemerdekaan ke- 50 perlu disambut di dalam suasana yang berbeza.
Kegelisahan hatiku mula memuncak. Sambutan kemerdekaan pula akan tiba tidak lama lagi. Wajarkah aku melepaskan amanah yang cukup besar ini? Aku tidak mahu bara’ dalam perjuangan. Rasulullah s.a.w. amat menekankan hidup di dalam jemaah. Jika aku tidak wala’ kepada pemimpin, aku khuatir jemaah akan hancur dan binasa. Sayidina Omar juga pernah mengingatkan bahawa takkan ada Islam tanpa adanya jamaah, takkan ada jamaah tanpa adanya pimpinan dan takkan adanya pimpinan tanpa adanya ketaatan.
Hati kecilku merayu sabar. Sesekali ada linangan airmata mencecah ke bumi. Akur menerima taklifan. Taklifan yang bukan dipinta. Harapku moga Allah juga yang membantu.
Keheningan malam serta tiupan angin panas menghinggap ruang jendela rumah sewaku. Waktu malam yang pendek sebegini jarang dapat melelapkan mata. Mindaku menerawang teringatkan Riko. Riko kawan karibku di kuliah. Sebagai mahasiswa dari negara Indonesia, kami mengakrabi antara satu sama lain. Lumrah. Mahasiswa Malaysia dan Indonesia serumpun di bawah satu bumbung. Biarpun dialek kami berlainan, tetapi itu bukan masalah bagiku.
Ribuan mahasiswa daripada kedua-dua negara ini langsung tidak pernah berjurang. Ada sahaja aktiviti bersama yang kami anjurkan. Merapatkan ukhuwah sesama Islam memang dituntut di dalam agama. Allah Taala berfirman, sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara.
Riko peramah orangnya. Rambutnya yang lurus hingga ke bahu itu, jarang-jarang disikat. Itu fesyen, katanya. Setahu aku, Riko bukannya orang senang. Ibunya hanya seorang petani di sebuah kampung di Jambi, Indonesia. Anak yatim ini tidak pernah mempamerkan kesengsaraan hidupnya. Aku tahu, sebagai anak sulung, Riko semestinya mahu mencapai hasrat untuk menjadi seorang mahasiswa yang berjaya menggulung sebuah ijazah suatu hari nanti. Cita-cita menjadi murabbi bukanlah suatu yang sia-sia.
“Antum semua beruntung benar. Bermukim di negara yang sejahtera dan aman. Tidak pula bagi kami. Ayah dan ibu kami bukan orang senang. Walaupun sudah merdeka, negara kami seolah-olah masih dijajah. 17 Ogos 1945, tarikh keramat negara kami telah merdeka. Kami merdeka lebih awal daripada Malaysia. Walaupun sedemikian, negara kami bukan aman seperti negara antum. Pernah tak antum semua bersyukur?”
“Kami amat bersyukur kerana negara kami sudah merdeka. Sayangnya, sesetengah orang tidak mengambil berat dan tidak bersyukur dengan kemerdekaan negara yang sedang mereka kecapi. Bagi mereka, keamanan dan kemakmuran adalah sesuatu yang biasa dan bukannya hasil kesungguhan pemimpin atau orang yang terdahulu. Mereka merasakan memang sudah menjadi tanggungjawab pemimpin yang terdahulu untuk memperjuangkan kemerdekaan negara. Malah, dalam meraikan hari kemerdekaan, untuk membeli bendera pun mereka berkira. Mereka lupa bahawa terdapat negara di dunia ini yang walaupun sudah merdeka tetapi tetap dijajah seperti negara Iraq dan Afghanistan. Mereka hidup di bawah penguasaan dan telunjuk pihak luar.”
“Mabruk! Sekurangnya-kurangnya antum sudah mengenal erti kemerdekaan negara sendiri. Apa benar?”
“Tidak! Negara kami juga masih dijajah. Tapi, bukan British yang menjajah kami. British sudah membebaskan kami hampir lima puluh tahun yang lalu. Tetapi kami sedih. Negara kami majoritinya Islam, namun adik- beradik kami semuanya dangkal tentang Islam. Mereka meletakkan solat hanya sebagai rukun Islam yang kedua tanpa mengamalkannya. Anak-anak merdeka yang lain pula tidak tahu mengaji al-Quran. Kami pernah mengajarkan mereka, tetapi mereka menggelengkan kepala tanda tidak mengerti apa itu mengaji.”
“Bukankah antum semua tahu, kita telah ditipu oleh penjajah?”
“Ditipu?”
“Mereka memerdekakan kita kerana mahu kita berpecah-belah. Pada tahun 1935, seorang ketua gerakan Kristianisasi, Zweimer ketika menyampaikan ucapan semasa persidangan kebangsaan di Palestin menyatakan bahawa – Tugas kita yang paling utama bukanlah membawa mereka kepada agama Kristian, tetapi tugas kita ialah memisahkan orang Islam daripada agama mereka sehingga tiada lagi hubungan mereka dengan Allah, seterusnya menjadi masyarakat yang tidak berakhlak.”
“Kenapa sampai begitu sekali?”
“Penjajah juga telah mengajar kita apakah definisi kemerdekaan dan mereka mahu kita memahami kemerdekaan dengan definisi yang diberikan oleh mereka. Mereka buat apa sahaja dan mahu kita faham bahawa erti kemerdekaan adalah dengan wujudnya pemerintahan sendiri berdasarkan sempadan-sempadan yang mereka telah lukiskan.”
“Maksudnya?”
“Mereka telah memerdekakan kita, tetapi kita masih belum lagi merdeka dengan akhlak kita.”
“Benar. Adik-beradik kami di sana cukup berbeza. Mereka lebih sukakan hiburan, keseronokan dan kehidupan yang bebas. Bagi mereka, merdeka hanyalah bebas daripada penjajah. Mereka tidak pernah mentafsirkan bahawa kemerdekaan yang sebenar adalah kemerdekaan di dalam rohani. Mereka lebih suka hidup memakan harta riba dan lebih rela menghirup najis dadah dan arak yang telah Allah Taala haramkan.”
“Antum semua tidak pernah berdakwah?”
“Bukan sahaja berdakwah, malah khutbah Jumaat yang dibacakan di dalam bahasa Malaysia pada setiap minggu juga tidak pernah diambil perhatian. Mereka tidak pernah gementar terhadap ayat-ayat Allah di dalam al-Quran yang menjanjikan balasan dan azab yang buruk bagi yang langsung tidak beriman kepada Allah. Mereka hanya yakin bahawa usia emas adalah waktu untuk beribadah, waktu untuk mengenal Tuhan dan waktu mereka untuk bertaubat.”
***
“Nazim, saya cadangkan sambutan tahun ini kita gabungkan bersama Negara-negara Asia yang lain. Bukankah Singapura, Indonesia, dan Malaysia merdeka di dalam bulan yang sama? Bulan Ogos. Kita boleh menjemput mereka daripada Negara Pakistan yang merdeka pada 14 Ogos, juga Negara India sehari selepas itu.” Salah seorang ahli mesyuarat memberikan pendapat yang bernas kepadaku.
“Ini satu cadangan yang menarik. Insya-Allah, jika Yang Dipertua bersetuju saya akan maklumkan menerusi jawatankuasa promosi beberapa hari lagi.”
“Bagi kami tiada masalah. Namun, perlu ada kesefahaman di dalam bekerja. Kami khuatir ada akhawat-akhawat dari Negara luar yang kurang senang bekerja dengan kami.” Seorang akhawat berhijab putih bersuara.
“Ada masalah pada pihak akhawat?”
“Baru-baru ini, apabila kami mengadakan festival mahasiswi serumpun, ada sedikit pergelutan berlaku. Namun, segalanya dapat diatasi dengan cara yang baik.”
“Baiklah. Jika tiada apa-apa lagi masalah, mesyuarat kita sampai di sini sahaja. Ana yakin dan percaya, antum bekerja kerana Islam dan mampu menggalas tugas dengan baik dan ikhlas. Ana perlukan seribu orang mahasiswa yang terlibat dalam acara perbarisan nanti. Ana minta kerjasama daripada semua Yang Dipertua Persatuan Anak-Anak Negeri menghantar wakil- wakil mereka sekurang-kurang tiga puluh orang bagi setiap negeri. Insya-Allah, kontinjen yang terbaik akan menerima anugerah pada hari tersebut yang akan disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Datuk Duta. Ini adalah mesyuarat terakhir bagi kita. Sebarang permasalahan boleh terus rujuk pada ana atau hubungi ana pada bila-bila masa.”
Mesyuarat terakhir itu melegakan diriku. Sekurang-kurangnya aku kini sudah mencapai takah terakhir untuk menunggu hari yang penuh sejarah itu. Persiapan pentas, acara-acara pertandingan dewan seperti pertandingan deklamasi puisi, pesta pantun, debat, nasyid dan macam-macam lagi acara telahku susun bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan di bumi Mesir pada tahun ini.
Seperti tahun-tahun yang lalu, tanpa pertandingan nasyid sambutan kemerdekaan sememangnya kurang meriah. Jemputan daripada kumpulan nasyid tanah air, kumpulan Soutul Nadwah telah pun aku selesaikan. Itupun dengan bantuan Hud. Hud memang kenal pada abang Saufi. Abang Saufi merupakan ketua kumpulan nasyid Soutul Nadwah. Kumpulan ini memang terkenal di Malaysia. Bukan itu sahaja, Riko pula telah membantuku mempromosi jualan tiket konsert kemerdekaan kepada rakan-rakan senegaranya. Sekurang-kurangnya sambutan kemerdekaan pada tahun ini bukan sahaja perlu mengeluarkan perbelanjaan yang banyak, tetapi hasil kemasukannya pun banyak.
Aku perlu mensasarkan jumlah kutipan tiket konsert melebihi sepuluh ribu junaih untuk menampung kewangan Persatuan Pelajar Malaysia di Mesir. Aku tahu, sebagai pemimpin persatuan aku perlu berfikir dengan baik supaya ekonomi persatuan akan kukuh dan terancang. Sekurang-kurangnya inilah tenaga yang dapat diberikan sepanjang aku berada di dalam kepimpinan ini.
Cadangan daripada beberapa orang ahli jawatankuasa aku terima dengan baik. Pada tahun ini, sambutan ditambah dengan beberapa acara lagi. Khususnya acara padang. Aku faham, sebagai seorang mahasiswa lelaki tidak lengkap jika pertandingan bola sepak tidak diadakan.
Acara padang dimulakan terlebih awal daripada acara yang lain. Tahun ini, lokasi berpusat di Bandar Zaqaziq. Jaraknya seratus kilometer dari Bandar Kaherah. Mahasiswa Malaysia di Zaqaziq bukanlah ramai sangat. Namun, sekurang-kurangnya bayu Kaherah dapat bertukar. Paling tidak, mahasiswa Malaysia di Zaqaziq lebih selesa menjadi tuan rumah. Pernah beberapa kali mereka suakan pendapat ini. Mereka mahukan perubahan. Perubahan cuaca. Ada juga suara-suara sumbang yang aku dengar, “Kenapa asyik buat di Kaherah saja?”
Aku mengerti. Jiwa sebagai seorang insan sememangnya mahukan perubahan. Dan perubahan inilah yang aku cuba lakukan. Demi kebaikan semua pihak, aku tunaikan segala hajat mereka. Bukan untuk bermegah kerana aku seorang yang melayan karenah, tetapi aku yakin, sebagai seorang pemimpin kita wajar menerima pendapat ahli.
Menurut Imam Ghazali, kewajipan ke atas manusia ialah menjaga dan memperbaiki niat hatinya serta menjauhkan segala anggapan dan sangkaan buruk kepada saudaranya ketika bersama rakan-rakan. Kewajipan inilah yang dituntut oleh syariat kepada semua manusia supaya dapat menjaga hati untuk menjadi insan yang kamil dan sempurna di dunia dan akhirat.
Hati merupakan anggota yang paling berbahaya, dan sesiapa yang mempunyai hati yang sakit dan mati, ia akan memberi kesan yang sangat buruk terhadap permasalahan yang sukar untuk diperbaiki. Oleh yang demikian, Imam Ghazali menggariskan beberapa asas sebagai panduan menjaga dan mengubati hati.
Asas pertama, Allah berfirman di dalam surah al-Ghafir ayat 19 yang bermaksud : Allah mengetahui segala pengkhianatan yang bermula dari mata dan apa yang tersembunyi di dada setiap hamba. Ayat ini dapat difahamkan, jika seseorang berhasrat atau terlintas dihatinya hendak menghasut, prasangka, atau melakukan niat jahat, maka ingatlah bahawa Allah amat mengetahui setiap rahsia yang terdetik di dada hamba-Nya.
Asas kedua pula, daripada Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada paras rupa kamu dan tidak kepada tubuh badan kamu, dan sesungguhnya Allah tetap melihat kepada hati kamu dan segala amalan kamu yang berlandaskan keikhlasan hati. Benar! Ikhlas itu penting dalam hati. Aku faham, jarang daripada kita dapat ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara termasuklah aku.
Asas ketiga ialah hati merupakan ketua kepada anggota manakala anggota-anggota lain adalah ikutan kepada hati, jika elok isi hati maka tetaplah pendiriannya serta eloklah perilaku anggota-anggota lain yang semuanya mengikut kehendak-kehendak hati.
Aku teringatkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : Sesungguhnya di dalam jasad manusia didapati segumpal darah, apabila baik maka baiklah keseluruhan badannya, dan apabila buruk maka buruklah segala keperibadiannya, adakah tidak kamu tahu sesungguhnya itulah hati.
Bukan mudah menjaga hati orang lain. Tanggungjawab sebagai seorang pemimpin adalah lebih besar daripada segalanya. Aku bukanlah seorang yang dangkal di dalam berfikir. Mengerti kehendak ahli merupakan suatu yang perlu ditangani sebelum ianya lebih parah dan akan disoal di hari akhirat kelak.
***
Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Azan Subuh melaung tinggi. Bayu padang pasir masih lagi terasa. Waktu subuh begini adalah waktu yang mendamaikan. Banyak perkara yang sempat aku lakukan sebelum bermulanya sambutan di dataran pada pagi ini. Menghafaz ayat – ayat al-Quran mengikut muqarrar Universiti Al-Azhar serta membaca ma’thurat selepas Solat Subuh sudah menjadi amalan biasa. Wirid-wirid Imam Hassan Al-Banna ini aku amalkan setiap pagi dan petang. Tambahkan kekuatan rohani.
Telefon bimbitku berdering ringkas. Ada mesej pesanan ringkas masuk ke dalam.
“Makluman penting. Semua mahasiswa Malaysia dijemput berkumpul di Dataran Hayyu Asyir pada jam 8.00 pagi ini untuk sambutan bulan kemerdekaan. Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Datuk Duta.”
Aku tersenyum sendiri menyaksikan keindahan yang bakal dikecapi sebentar nanti. Harapku moga tiada gundah yang berlaku sepanjang majlis yang akan berlangsung. Tapi, jiwaku masih merundum hiba. Taklifan ini belum lagi terjawab. Sebab dan punca pertukaran aku masih tidak menemukan jawapan. Mengapa harus mereka merahsiakan segalanya?
“Buntu.”

Glosari :
Wosto – pemandu bas
Anta – awak
Ana – saya
Wala’ – taat di atas segala tanggungjawab yang diberikan oleh pemerintah
Bara’ – tidak taat (ingkar) di atas segala tanggungjawab yang diberikan oleh pemerintah
Taklifan – Tanggungjawab
Murabbi – Guru/Pendidik
Antum – Kamu
Mabruk – Tahniah
Akhawat – Mahasiswi
Junaih – Duit Ringgit (Bagi Negara Mesir)



No comments:

Post a Comment