Tuesday, April 21, 2009

CERPEN : Warkah Dari Medan Seni

CERPEN
WARKAH DARI MEDAN SENI
Oleh Syafiq Zulakifli

Abah,
BARANGKALI marah Abah makin menjadi. Saya ketahuan sangat sikap Abah akhir-akhir ini. Semenjak saya pulang bercuti minggu lepas, Abah tidak putus-putus menyumpah seranah pada saya. Saya simpan marah Abah itu jauh-jauh. Pada saya, mungkin marah Abah akan reda satu masa nanti. Bukankah Abah juga yang menghantar saya ke akademi ini? Bukankah Abah juga yang minta saya jadi seorang penyair? Bukankah Abah pernah beritahu saya supaya nanti Abah akan lihat saya bersama A. Samad Said di dalam Anjung Deklamator untuk membacakan puisi-puisi roh Islam? Itu semua cita-cita Abah bukan?
Saya beranggapan mungkin itu dahulu. Sebelum saya bergelar seorang mahasiswi di Akademi Seni. Sebelum saya menjejakkan kaki ke dalam Akademi Seni ini, hasrat Abah sememangnya begitu. Mahu saya jadi macam-macam. Begitu dan begini. Tetapi mengapa Abah berubah? Kenapa Abah tiba-tiba suruh saya berhenti belajar di Akademi Seni?
Saya juga jadi kehairanan. Barangkali sikap Abah hari ini sudah tidak sama lagi dengan sikap Abah yang dahulu. Saya juga jadi tidak menentu. Apabila malam menjelma, saya tidak cendera tidur. Mata yang sudah kantuk pun tidak dapat ditutup. Entah. Saya jadi bingung sendiri. Kehadiran ke kelas lazimnya yang biasa saya penuhkan pun, barangkali sudah bertukar rentaknya.
Kawan-kawan saya juga pelik dengan sikap saya sebegini. Kalau mereka bertanya, lantas sepicing huruf pun tidak berbunyi dari mulut saya. Sedang begitupun, saya masih tidak dapat menahan parah di dalam hati yang membakar ini. Barangkali saya perlu penjelasan daripada Abah sendiri.
Abah,
Ceritera Abah suatu masa dahulu mungkin saja saya boleh imbas. Saya masih simpan dalam kotak fikir saya. Barangkali jika Abah dengar pun, Abah akan mengangguk membenarkan apa yang saya akan perkatakan.
Abah bilang, jadi penyair ini adalah suatu seni. Seni yang harus ada santun dan budinya. Harus ada lemah-lembutnya. Seni itu indah. Kesenian yang mengajar erti ketakwaan kepada Allah. Seni juga lambang kesatuan kita.
Kalam itu yang masih saya simpan bulat-bulat. Saya hangatkan ketika berada di dalam kelas. Yang saya tahu, seni itu banyak ceritanya. Beberapa bulan sebelum ke Akademi Seni, saya sembunyi-sembunyi bongkar almari Abah. Maafkan saya Abah. Saya bukan anak yang suka jadi pencuri. Saya mahu curi keindahan seni itu sendiri. Sebab itu saya gagahkan diri untuk mencari dimana letaknya nilai seni itu, Abah.
Tentu Abah masih ingat tulisan Abah yang terbit di Mingguan Malaysia sepuluh tahun yang lalu. Abah menulis tentang keindahan seni. Abah ceritakan tentang Islam sebagai ad-Din yang serba-serbi lengkap juga mengambil kira hal kesenian di dalam perundangannya.
Tatkala itu juga, Abah coretkan di dalam makalah yang sama, Islam telah datang untuk menyempurnakan fitrah semula jadi manusia yang cinta kepada kesenian dan menentukan garis panduan seni yang diredai oleh Allah.
Dan, di antara yang paling takjub saya kira, Abah bercerita hal berkenaan kesenian yang diterima oleh agama Islam, adalah kesenian yang dapat membezakan dengan nilai akidah, syarak dan akhlak.
Abah tentunya lebih hebat daripada saya. Abah juga Tokoh Penyair Negara suatu masa dahulu. Jika saya berbual panjang tentang seni, saya juga malu untuk bercerita panjang. Takut-takut ilmu Abah lebih besar daripada saya.
Abah yang disayangi,
Tutur susila saya masih dijaga dan dipelihara. Abah kata, jika berada di dalam Akademi Seni pun, solat tidak harus tinggal. Solat itu tiang agama. Jika kita meninggalkan solat, tentunya kita berani meruntuhkan agama. Benar. Saya akui kata-kata Abah. Dan, semenjak saya berada di dalam akademi pun, tidak pernah walau sekali saya tinggalkan solat. Abah sememangnya punya darah seni yang kuat daripada saya. Sedang saya, seorang anak yang baharu mengenal dunia seni dan penyair.
Pernah saya lihat Abah meradang pada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia kerana mengadakan persembahan yang melanggari syarak. Waktu itu saya masih setahun jagung mengenal dunia seni. Yang saya dapat tangkap dongeng cerita, Abah amat marah sekiranya program kesenian diadakan ketika waktu Maghrib berkumandang. Kata Abah, mereka tidak hormat akan agama sendiri. Saya hormat pada ketegasan yang Abah lakukan. Amanah yang Abah bawa sebagai seorang seniman yang menghambakan seni untuk Islam, saya amat hormat.
Adakah Abah masih ingat semangat yang Abah bekalkan pada saya sebelum menjejakkan kaki ke ladang Akademi Seni ini? Abah telah meniupkan semangat jihad kepada saya. Semangat jihad sebagaimana tentera Islam berperang di Palestin mempertahankan agama. Abah kata pada saya, ketika zaman Khulafa’ al-Rasyidin umat Islam berani berjihad dengan keindahan seni. Seni yang mempertaruhkan syair-syair Islam ternama seperti yang terkandung di dalam kitab Sirah Ibn Hisyam.
Abah cuba jelaskan pada saya, betapa Islam ini tidak gagah tanpa mata pena yang paling tajam untuk berbicara semenjak zaman Rasulullah lagi. Abah juga sedari kecil cukup akrab meladeni Diwan Imam Syafie yang mengumpulkan bermacam-macam jenis syair Islam untuk membesarkan Tuhan sebagai Rabb Jalil.
Semalam, saya intai kembali warkah Abah yang lalu. Abah benar-benar mahukan saya mencari seni itu di Sepanyol satu masa dahulu. Abah bangga sekiranya ada di antara anak Abah yang belajar puisi Islam di sana. Tentunya saya tidak pernah lupakan sejarah ketamadunan Seville, Valencia, Granada, dan Almeria di Sepanyol yang banyak melakarkan puisi-puisi indah di sana semenjak zaman Andalus lagi. Bukankah Tamadun Islam itu bermula dengan kesusasteraan?
Barangkali Abah kecewa kerana saya membuat keputusan untuk masuk ke Akademi Seni ini. Walaupun Abah bangga apabila saya merupakan satu-satunya anak Abah yang ikut jejak langkah untuk terus menjaga khazanah seni, tetapi mungkin Abah ralat melihat saya tidak menuntut ilmu di sana. Tentunya saya ada alasan sendiri menolak pelawaan Abah. Dan, sebagai gantinya saya hadiahkan sekeping kenangan di pinggiran kota, mempelajari seni itu di Akademi Seni ini.
“Ilmu itu adalah cahaya. Dan cahaya Allah, tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang melakukan maksiat.” Saya pasti Abah masih ingat kata-kata ini. Abah yang minta saya hafaz kata-kata Imam Syafie ini. Dan, sehingga kini ianya tidak pernah luput daripada ingatan saya. Saya faham maksud tersirat yang Abah cuba jelaskan. Tentunya Abah mahu saya pelajari ilmu yang baik-baik sahaja di dalam akademi.
Sungguh saya tidak menyangka Abah marahkan saya begitu kuat ketika saya pulang tempoh hari. Cuti yang saya idamkan seronok, Abah tukarkan anginnya dengan cuka yang masam. Beberapa kali saya minta ibu jelaskan marah Abah, tetapi ibu diam membisu. Yang ibu mampu beritahu, dia minta saya sendiri mohon maaf pada Abah. Tentunya saya buntu dengan keadaan yang menimpa. Sugul diri saya tidak dapat lagi terbendung. Saya mahukan penjelasan Abah.
Saya kerapkali berfikir, di mana silap saya sebenarnya. Dan, mungkin sahaja saya boleh simpulkan begini. Abah marah saya ketika saya mengadakan persembahan pertama di Istana Budaya beberapa minggu yang lalu.
Tentunya saya tidak menyangka Abah keluar melulu ketika nama saya disebut untuk mendeklamasikan puisi pada waktu itu. Saya hampir-hampir rebah di atas pentas. Tetapi saya kuatkan semangat. Saya fikir Abah keluar untuk memenuhi hajat. Dan, saya tidak teragak-agak terus melontarkan bait-bait kalam puisi yang indah ketika itu.
Lirik mata saya terus sahaja tertancap pada seraut wajah Ibu di hadapan. Semahunya saya mahu Ibu juga bersorak ketika nama saya diumumkan, tetapi wajah Ibu juga tampak kusam. Ibu seolah-olah tidak merelakan saya berdiri di atas pentas. Sedang kelibat Abah sudah hilang semenjak dari tadi, menjadi tanda tanya pada diri saya. Maklumlah, tentunya kali pertama beraksi di atas pentas besar ini bukannya mudah. Apatah lagi, Abah dan Ibu yang kehairanan di hadapan saya sendiri membuatkan saya jadi serba salah.
Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
Pantun seni Melayu zaman berzaman ini Abah dengarkan ke gegendang telinga saya buat kali pertama. Enak sungguh jika budi dan bahasa itu disatukan di dalam satu bicara. Tentunya juga bagai kereta dan enjinnya yang tidak boleh dipisahkan. Orang Melayu amat kaya dengan budi dan bahasa. Santun dan keramat bicaranya tidak pernah luntur ditelan zaman-zaman.
Abah yang saya amat hormati dan sanjungi,
Sudah terang lagi bersuluh. Jika kebaya nyonya yang saya pakai di atas pentas menjadi punca utamanya, saya junjung kemaafan yang menggunung. Saya pasti Abah malu melihat anak Abah sendiri yang menyarung pakaian ketat itu. Saya terhimpit Abah. Benar-benar terhimpit dengan kekusutan ini. Sikap pengetua yang memaksa saya, saya telan bulat-bulat. Saya takut untuk bersuara. Saya risau kalau-kalau mahunya mereka itu nanti membuang saya sebagai pelajar akademi.
Saya malu ditertawakan Abah. Kekadang, tatkala menjalani latihan, saya minta izin untuk bersolat pun, saya diperlekehkan. Barangkali semua cerita-cerita saya ini Abah perlu tahu. Ya! Mungkin dunia seni kita hari ini sudah banyak berubah. Tentu tidak sama jika mahu dibandingkan dengan zaman Abah yang lalu. Keadaannya sungguh berubah. Yang sepatutnya ditutup, dingangakan. Yang sudah bertudung, ditanggalkan. Semuanya atas satu alasan Abah, perintah.
Asas seni sudah luntur. Bangsa Melayu sebagai bangsa dagangan semata-mata. Melayu hanya pada nama. Namun, adatnya sudah hilang. Saya akur dengan sikap Abah itu. Saya tahu saya bersalah di dalam hal ini. Namun, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul kesengsaraan ini.

Dahulu, moyang-poyang kita bertingkah-tingkah adat. Adat dijunjung tinggi. Budaya dijaga rapi. Kalau anak-anak menari, adat dan hukum dipelihara sejati. Sedari awal saya kira, sejarah itu sudah pupus. Hukum hanya terletak di dalam kitab. Mati.
Gegendang ini sudah lama berlaga mendengar ceritera yang kurang elok. Pesta hiburan juga adat melampau. Jangankan disua pendapat, nanti berbalas dengan hukum manusia. Pecat. Letak jawatan.
Sudah berkali-kali pentadbiran Akademi Seni ini berubah. Sedang saya melihat orang-orang dalaman akademi pun terkandas dengan delima ini. Apa yang harus saya lakukan lagi?
Hentikanlah marah abah itu. Saya akur untuk mengusung bagasi pulang ke pangkuan Abah. Kemarahan itu tentunya akan menjadi rencana ingatan dalam peribadi saya.
Sekian, wassalam.


No comments:

Post a Comment