Tuesday, April 21, 2009

CERPEN : TUAN, INI UNTUK KAMU

CERPEN
TUAN, INI UNTUK KAMU
Oleh Syafiq Zulakifli

INI tugas saya. Mencatat, menulis dan mempromosikan hasil tulisan di dalam akhbar Al-Ahram. Semenjak diterima masuk ke dalam dunia kewartawanan, saya tidak pernah kecewa dengan tugas seperti ini. Pagi; keluar seawal Subuh untuk mendapatkan berita-berita panas dan sensasi kiranya dan dimuatkan di dalam akhbar syarikat milik Tuan Fareed pada keesokkan harinya. Malam pula pulang selewat jam satu pagi ke rumah. Tentu teman serumah sudah mengerti tugas saya seperti ini sehari-hari.

Sebagai sebuah pengarang akhbar ‘panas’ di bandar Kaherah, liputan saya semestinya tidak harus sama dengan liputan yang dikendalikan dan diterbitkan oleh akhbar-akhbar lain. Itu harapan daripada Tuan Fareed sendiri. Beliau mahukan berita yang lain daripada yang lain. Cerewet.

“Mohamed Eidil, berita panas apa hari ini?”

“Belum ada lagi Tuan.”

Setiap hari Tuan Fareed, ketua pengarang kanan akhbar Al-Ahram akan bertanyakan kepada saya akan berita apa yang bakal dimuatkan di muka hadapan nanti.

Saya cepat-cepat mencapai buku nota kecil dan pena yang tidak tersusun kemas di atas meja pejabat. Hari ini saya ditugaskan menghadiri sidang akhbar dua orang pemimpin kanan dunia. Seorang wakil daripada negara Iraq dan seorang lagi pemimpin kanan Amerika Syarikat.

Barangkali semenjak kehadiran kedua-dua pemimpin utama negara itu ke sini, saya langsung tidak berpeluang untuk duduk mencatat di hadapan mereka. Tetapi, selepas ruang ini ditugaskan kepada saya, segera saya mengambil tanggungjawab tersebut.

Deringan muzik lagu Biladi nyanyian Amir Diab berkumandang. Saya mendapatkan telefon bimbit yang tersimpan di dalam saku kecil seluar. “Tuan Fareed, saya di dalam perjalanan ke bangunan Opera House.”

“Baik! Segera!” Itu sahaja kalam yang sempat diucapkan oleh bos saya pagi itu.

Sewaktu tiba di lobi Opera House, saya menjeling-jeling ke arah segerombolan pasukan wartawan yang sudah bersiap-siap di luar. Segera saya memberi salam dan bertanya, “Sudah bermula majlis?” “Belum.”

Fahamlah saya bahawa pemimpin-pemimpin utama tersebut masih lagi belum tiba di perkarangan dewan ketika itu. Langsung saya terus sahaja berpusing-pusing mengitari seluruh kawasan Opera House itu. Barangkali bangunan ini juga boleh dijadikan tajuk-tajuk rencana yang boleh saya muatkan di dalam akhbar pojok saya itu nanti.

Kurang lima belas minit kemudian, siren polis bergema memenuhi ruang udara bangunan. Saya melihat ramai orang berpusu-pusu menuju ke dalam Dewan Utama Al-Husaini untuk mendengar sidang akhbar itu. Cepat-cepat saya menuju ke dalam ruang dewan itu. Takut nanti sesak dengan wartawan-wartawan yang lain.

Dewan berhawa dingin dengan suhu seakan-akan bawah daripada sepuluh darjah celcius menjamah-jamah kulit saya. Sejuk. Mujurlah saya memakai ves tebal hari ini.

Saya mencapai sebuah kerusi di hadapan. Yang duduk di sebelah adalah seorang wartawan muda daripada akhbar senegara saya kira. Di hadapan saya ramai lagi wartawan yang entah daripada negara mana pun saya tidak ketahui.

“Dari akhbar mana?”

“Al-Baghdadi.” Jawabnya ringkas.

Tahulah saya bahawa orang yang duduk di sebelah adalah seorang wartawan daripada negara pemimpin yang akan menyampaikan sidang akhbar itu sebentar lagi. Saya tiba-tiba menjadi peramah. Yang sempat saya tanya, sudah berapa lama menjadi wartawan? Sudah berapa lama menjadi penulis? Dan, bermacam-macam lagi soalan yang terpacul daripada mulut saya.

Entah di mana silap pertanyaan saya, ada beberapa soalan yang tidak dijawab. Saya pun tiba-tiba tersipu-sipu malu mendiamkan diri.

Di hadapan saya, masuk dua orang pemimpin utama negara. Pengerusi memperkenalkan kedua-dua orang tokoh. Di sebelah kanan, Perdana Menteri Iraq yang merupakan ketua kerajaan kepada wartawan yang berada di sebelah saya ini. Dan, seorang lagi; seorang pemimpin utama dunia yang terkenal iaitu Setiausaha Negara Amerika Syarikat. Semua yang sedang duduk di dalam dewan tersebut memberi tepukan gemuruh kepada kedua-dua pemimpin itu tatkala mereka memasuki ruang dewan tersebut.

Pengerusi majlis yang berbahasa Inggeris itu mempersilakan Perdana Menteri Iraq menyampaikan amanat dan ucapannya. Selepas mengucapkan salam dan memberikan ucapan pendahuluan, beliau mengungkapkan dengan nada marah bahawa negara Iraq kini sudah kecewa dengan sikap dunia Islam yang langsung tidak pernah memahami keperitan dan penderitaan. Bermandikan darah, berselimutkan daging-daging manusia yang entah bila akan tamat pun, tidak diketahui.

Saya terkejut dengan kenyataan tersebut. Dengan pantas, saya segera mencatat. Sesekali, saya teringatkan peristiwa-peristiwa benar yang berlaku ke atas dunia-dunia Islam. Afghanistan, Iran, Palestin dan bermacam-macam lagi peristiwa pedih yang pernah di alami oleh mereka, tiba-tiba saya mengingati semula akan peristiwa itu. Pernah satu masa, saya mencatat sebuah makalah tentang penderitaan rakyat Palestin yang inginkan kebebasan, kedamaian apatah lagi pembangunan seperti negara-negara maju yang lain.

Perdana Menteri itu berkata lagi, terpulanglah kepada Amerika Syarikat untuk membuat apa-apa lagi selepas ini. Yang mereka tahu hanyalah, berdoa kepada Allah, agar satu masa nanti orang-orang Yahudi ini akan kembali mempasak sebuah janji untuk berdamai dan bersatu tanpa persengketaan lagi.

Ada senyum kecil yang tergantung di sebalik riak wajah Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu. Ketahuilah benar bahawa ada harapan yang besar seharusnya dikembalikan nanti semasa beliau akan mengambil bahagian untuk berucap.

Sesekali, Perdana Menteri Iraq itu menitis airmata. Ada kekecewaan yang terpamer dan membekas dingin di dalam jiwa dan sanubari. Saya masih gagah memegang sebuah pena dengan buku catatan yang sudah dipenuhi lebih daripada tiga muka surat.

Saya tiba-tiba teringat kepada Yasser yang ditemuramah minggu lalu. Seorang anak muda yang bekerja di bandar Kaherah berasal daripada Palestin. Saya bertemu dengannya tatkala melihat dia mundar-mandir di seberang Sungai Nil menghala ke bandar Tahrir.

“Aku masuk melalui sempadan Gaza. Mujurlah aku masih boleh menapak sehingga ke bandar ini. Aku amat takut sebenarnya, tetapi apakan daya, di sana tiada lagi kehidupan yang terbaik buat diriku. Yang aku dengar hanya bunyi das tembakan yang memecahkan gegendang telinga ini sahaja. Aku amat takut!”

Katanya lagi, “Beberapa minggu kami bergelap kerana bekalan elektrik terputus. Itu semua gara-gara Yahudi laknatullah yang tidak pernah senang dengan kehidupan kami ini.”

Saya memegang erat tangannya. Saya masih lagi setia mendengar luahan ceritanya itu. Dia masih lagi mahu terus bersuara dan bersuara.

“Semenjak Israel menjajah Palestin semenjak tahun 1967, mereka berusaha menghalang kami daripada melakukan apa-apa sahaja. Mereka menghalang kami mendapatkan air, mereka membuat kami bagai sampah yang paling jijik di atas muka bumi ini. Ini bukan tanah mereka. Ini tanah Allah!” Jeritnya dalam hati.

Saya menyangka dia amat marah dengan kehidupannya yang diperlaku seperti anjing liar di perbatasan. Saya mengerti akan darah dendam yang terbuku di dalam hatinya.

Tiba-tiba saya mendengar tepukan gemuruh yang amat kuat. Oh! Benarlah kini tiba giliran pemimpin yang hadir mewakili negara Amerika Syarikat itu akan berucap pula.

Saya cepat-cepat menyudahkan catatan-catatan yang masih tertinggal. Muka baru. Lembar buku catatan ditujukan ke muka yang baru. Kali ini saya akan mencatat beberapa kalam yang akan diucapkan oleh pemimpin itu.

Beberapa kali pemimpin itu mendapat tepukan yang gemuruh. Saya memasang telinga dalam-dalam. Segera saya mencatat. Entah di mana eloknya tutur bahasa dan kalamnya juga saya tidak mengerti. Yang saya fikir, pemimpin ini hanyalah seorang yang riak dan ego semata-mata meraih kegembiraan dan kepuasan sebagai seorang pemimpin yang terhandal konon-kononnya di dalam dunia ini dan mampu melakukan apa sahaja kehendak dan keinginannya.

Saya memegang pena dengan kuat. Kali ini saya cukup terasa apa yang telah dilakukan ke atas Yasser dan teman-teman. Kali ini saya cukup bengang dengan perkara yang telah terjadi kepada Palestin, Iraq, Afghanistan dan negara-negara Islam sendiri. Negara saya sendiri Mesir pernah berkali-kali diratah. Namun, mujurlah Tuhan masih memelihara.

Tanggapan saya, Amerika dan Israel amat takut menjadi Firaun kedua di bumi Mesir ini. Dan, barangkali juga puak Ikhwan Muslimin, sebuah gerakan politik Islam di bumi Mesir ini amat ditakuti oleh bangsa-banga seperti Amerika dan Israel itu. Mengapa tidak, setiap kali usai menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Azhar, puak-puak ini juga yang melaungkan kalimah jihad untuk menentang Amerika dan Israel. Yang saya pasti, mereka bercita-cita mahukan Yahudi ditarah dengan adil dan saksama sebagaimana kejamnya mereka terhadap dunia Islam.

Tidak silap saya, ketika membuat liputan baru-baru ini di dalam Universiti Al-Azhar, Kaherah; salah sebuah universiti tertua di dunia, saya telah melihat betapa bendera Israel dan Amerika yang dilakar di atas jalan tar universiti tersebut telah dipijak-pijak oleh sebahagian besar mahasiswa yang setiap kali akan memasuki perkarangan universiti itu. Sungguh benar, umat Islam semuanya amat berang dengan tingkah laku kejam pemimpin negara itu.

Saya memerhatikan lagi pemimpin itu berucap dengan pena yang masih berdiri di tangan kanan. Setiap bicaranya saya catat dengan sesekali darah panas menyelinap di dalam diri. Wartawan Baghdad yang duduk di sebelah lebih-lebih lagi memberikan tumpuan yang tidak sepicing pun boleh menggugurkan kalimah dan patah huruf yang diucapkan oleh pemimpin itu.

Saya melihat udara sejuk yang berkedap di dalam dewan itu tiba-tiba membahang. Entah mengapa bahang itu meresap di dalam diri. Saya memerhatikan pemimpin itu dengan mata yang tajam. Kasut yang saya sedang pakai saya tanggalkan. Dengan genggaman yang kuat, saya lempar kasut yang saya pakai itu mengenai pemimpin yang sedang berucap dengan mulut saya mengungkap kata, “Tuan, ini untuk kamu.”

Kasut itu sempat dielak oleh pemimpin itu. Saya amat tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku. Marah makin menjadi-jadi. Tiba-tiba suasana dewan hingar seketika. Tanpa mengambil masa yang panjang saya menanggalkan sebuah lagi kasut saya di sebelah kiri lantas melemparkannya dengan jeritan di mulut, “Ini adalah daripada balu-balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh selama ini. Kau memang jahat!”

Saya menjadi geram yang amat. Saya meninggalkan dewan secara tiba-tiba dan keluar melulu ke arah pintu utama. Yang sempat saya lihat, saya dikepung oleh pihak-pihak berkuasa yang tidak kenali.

Saya cuba mempertahankan apa yang dilakukan. Mereka dengan kejam mengheret ke sebuah bilik kedap yang tidak berpenghuni. Entah di mana saya tidak ingat. Mereka marahkan saya. Berulang-ulang kali mereka tanyakan mengapa saya bertindak sebegitu kejam.

Dengan perasaan dendam yang amat, saya katakan bahawa saya tidak kejam. Mereka lagi kejam. Mereka menghancurkan dunia Islam dan mereka sepatutnya dihukum.

Entah berapa kali saya ditampar pun, saya tidak ingat. Sakit yang amat. Saya jerit sekuat-kuatnya. Sakit! Sakit! Sakit!

Tuan Fareed berdiri di hadapan saya. Saya memerhatikan kawasan sekeliling. Komputer pejabat masih berada di atas meja pejabat.

“Mohamed Eidil, sudah pergi buat liputan atau belum hari ini?”

Saya yang tersipu-sipu malu menghalakan perjalanan saya seperti biasa untuk membuat liputan seperti hari-hari yang lain.

No comments:

Post a Comment